Expired : 18.06.18

Ahli UMNO Tidak, Ahli PAS Pun Bukan Tapi ‘Sibuk’ Soal Penyatuan Ummah

KUALA LUMPUR, 13 Sept –  Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa melihat banyak pihak yang gundah-gulana malah tidak senang duduk dengan perkembangan melibatkan UMNO dan PAS menerusi penyatuan ummah.


“Jadi ahli UMNO pun tidak dan ahli PAS pun tidak kenapa nak sibuk soal urusan kami. Urusan kami adalah soal politik hari ini, pemimpin hari ini. UMNO dan PAS hari ini adalah ‘brand new’ dan dengan azam baru serta cita-cita baru. Jadi tidak perlu ungkit soal yang dulu-dulu.



“Tadi apabila saya ditanya bersama dengan Takiyudin (sidang media) apa pendirian kita… jawabnya mudah. UMNO dan PAS paksi kami adalah satu, rujukan kami adalah satu, nawaitu kami adalah satu iaitu kami kembali kepada al-Quran.


“Dalam al-Quran lagi Allah ampunkan umatnya apatah lagi kami dengan PAS sudah lama 0-0. Tidak berbangkit. Yang penting hari adalah bergerak ke depan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Final Countdown Himpunan Perpaduan Ummah peringkat negeri Selangor yang berlangsung di Kompleks Lincah Mahaguru Omar Din (KLMO), di sini Khamis malam.


Katanya lagi 14 September bukan soal tandatangan piagam semata-mata dan bukannya sebagai penamat kepada muafakat dan kerjasama antara kedua-dua parti.



Sebaliknya ujar beliau ianya adalah satu permulaan untuk melangkah ke arah gerak kerja yang lebih besar dan lebih meluas selepas ini untuk kepentingan rakyat dan negara.


“Piagam itu digarap sebegitu rupa bahawa negara kita memerlukan kepada muafakat yang baru, negara kita memerlukan pendekatan yang baru, negara kita memerlukan perancangan yang baru, negara kita memerlukan pelan penyelamat yang baru dan pelan penyelamat yang baru itu akan dipelopori oleh UMNO dan PAS demi kepentingan rakyat dan masa depan,” tambahnya.


Tambahnya lagi penyatuan ummah bermula dengan penyatuan umat Melayu dan Islam tetapi tanpa meninggalkan sesiapa.


“UMNO dan PAS bukannya nak membentuk ‘Talibanisme’, penyatuan UMNO dan PAS bukannya nak ancam sesiapa,” ujarnya.


Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan berkata perubahan tempat program Himpunan Perpaduan Ummah yang sepatutnya diadakan di Selayang terpaksa ditukar pada saat-saat akhir memperlihatkan watak kerajaan hari ini.



“Inilah kerajaan yang dikatakan menjamin kebebasan dan hak asasi, kebebasan bersuara, kebebasan berpolitik, inilah rupa bentuk kerajaan yang ada pada hari ini, tidak membenarkan parti-parti yang tidak sama dengan mereka untuk menyampaikan pandangan dan pendapat kepada rakyat.


“Walau bagaimanapun, Alhamdulillah kita berada di pekarangan KLMO. Terima kasih kepada Datuk Megat selaku Ketua UMNO Gombak,” katanya.


Dalam ucapannya juga beliau melahirkan rasa syukur dengan perkembangan yang berlaku antara kedua-dua parti UMNO dan PAS.


“Saya dilahirkan dalam keluarga PAS. Dalam pemikiran saya tidak pernah terfikir bendera PAS akan bersama dengan bendera UMNO berkibar di Ibu Pejabat UMNO, PWTC.


“Apatah lagi kalau esok dan lusa tuan-puan yang pergi ke PWTC, akan melihat di luar PWTC dan di dalam PWTC bendera UMNO dan bendera PAS diselangselikan dan berkibar pula di sebelahnya bendera Malaysia. Inilah yang akan kita lihat. Dan ini adalah peristiwa yang amat bersejarah,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE


Norlida Ishak Shop