Expired : 18.06.18

Akauntan bertauliah Bumiputera kurang 10 peratus, masih kritikal

MENJELANG pembentangan Belanjawan 2020 pada 11 Oktober 2019, Pertubuhan Ikatan Akauntan Muslim Malaysia (i-Akauntan) mengikuti perkembangan dan reaksi masyarakat yang mahu melihat anjakan paradigma kerajaan dalam mengimbang pembangunan ekonomi dengan pembangunan kualiti kemahiran dan kepakaran rakyat terutama golongan Bumiputera.


Jumlah akauntan bertauliah Bumiputera di Malaysia masih berada di paras kurang daripada 10 peratus. Bagi sebuah negara yang mempunyai populasi Bumiputera lebih 70 peratus, jumlah akauntan bertauliah Bumiputera masih kritikal.


Statistik yang sama juga dipetik Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam merangka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Persoalannya, adakah pihak kerajaan benar-benar menumpukan perhatian dan melaksanakan perancangan strategik untuk meningkatkan jumlah akauntan bertauliah Bumiputera di Malaysia?


Dalam Belanjawan 2019, sebanyak RM17.5 juta telah diperuntukkan kepada Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) dengan sasaran peningkatan jumlah akauntan bumiputera sehingga 30 peratus menjelang 2030. Usaha MyPAC dan Yayasan Peneraju telah mencetus minat dan penambahan bilangan mahasiswa Bumiputera untuk mengambil kursus Profesional seperti ACCA, MICPA dan lain-lain.


Realiti yang sebenarnya, akses tajaan untuk menampung kos pengajian kursus Profesional ini sangat terhad. Lima Majlis Agama Islam Negeri melalui agihan zakat dan beberapa syarikat korporat telah tampil menawarkan biasiswa dan bantuan kewangan melalui MyPAC dan Yayasan Peneraju, namun tiada insentif kerajaan yang boleh menggalakkan lebih banyak penyertaan daripada syarikat korporat lain.


Kerajaan perlu tampil dengan suntikan pelan inisiatif yang lebih segar seperti memberi galakan berbentuk tambahan insentif dan pengurangan cukai kepada syarikat-syarikat korporat terutama firma audit yang menjalankan inisiatif yang serius bagi menyokong agenda meramaikan akauntan bertauliah Bumiputera.


Mengambil contoh kerjasama antara badan korporat dengan universiti seperti yang dilaksanakan SALIHIN dan universiti tempatan melalui inisiatif Teaching Accountancy Firm (TAF), inisiatif sebegini sangat penting bagi meningkatkan kemahiran dan sekaligus membantu graduan menimba pengalaman bekerja yang berkualiti bagi melayakkan mereka mendaftar sebagai akauntan bertauliah.


Graduan Bumiputera seperti Khalid Kamarulzaman, Siti Aisah Kamarulzaman, Wan Nurmafudah Wan Yusof, Ahmad Fauzee M Hassan dan lain-lain telah membuktikan Bumiputera mampu bersaing dengan cemerlang, sekalipun kursus profesional seperti ACCA, MICPA, CIMA, CPA, ICAEW dan lain-lain lebih sukar berbanding kursus perakaunan peringkat Sarjana Muda.


I-Akauntan percaya Malaysia memerlukan lebih ramai akauntan bertauliah Bumiputera yang berkelulusan profesional.


Dengan nilai dagangan negara yang mencecah RM1.2 trillion dan modal pasaran negara mencecah RM3.19 trillion, kemahiran dan penguasaan ilmu perakaunan yang diiktiraf antarabangsa amat penting kerana mereka akan terlibat menguruskan aset dagangan negara dan menawarkan nasihat kewangan yang berkualiti, maka kerajaan perlu mengambil pendekatan yang lebih berkesan.


Khairunnisa Mazlan

Naib Pengerusi

Pertubuhan Ikatan Akauntan Muslim Malaysia (iAkauntan)


Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.


The post Akauntan bertauliah Bumiputera kurang 10 peratus, masih kritikal appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop