Expired : 18.06.18

Akhirnya One City Tampil Beri Penjelasan Selepas Di Dakwa Upah Samseng

One City Development Sdn Bhd menegaskan pihaknya tidak menggunakan “samseng” dalam usaha memindahkan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.


Sebaliknya, syarikat yang memiliki tanah di tapak kuil itu berkata, kakitangannya berada di sana untuk memberikan bantuan sokongan dengan pengawasan polis.


“One City Development Sdn Bhd menafikan sekerasnya mengupah atau membenarkan pengambilan ‘samseng’ untuk mencetuskan kekacauan di kuil itu, seperti yang dilaporkan media.


“Kakitangan kami di situ diarahkan untuk memberikan bantuan logistik dan membantu pemindahan secara teratur dengan pengawasan polis,” kata syarikat itu dalam kenyataan.


Kata One City lagi, syarikat itu terus bekerjasama dengan polis dalam siasatan terhadap insiden itu.


Kenyataan itu dibuat kepada Bursa Malaysia menerusi syarikat induknya MCT Berhad. Pemegang saham utama MCT adalah syarikat Filipina, Ayala Corporation.



Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin hari ini berkata siasatan polis mendapati peguam syarikat pemaju itu membayar RM150,000 kepada sekumpulan lelaki untuk menceroboh dan mengawal kuil itu.


Insiden yang berlaku awal pagi Isnin itu mencetuskan pertembungan dengan penganut Hindu di kuil tersebut.


Sehari kemudian, lebih 2,000 berkumpul sekitar kuil itu. Himpunan itu bermula aman namun bertukar menjadi kekacauan menyebabkan sejumlah kenderaan dibakar dan seorang anggota bomba cedera parah.


Tiada mana-mana peguam ditahan polis


Sementara itu, Bernama melaporkan firma guaman Skrine menafikan yang peguam-peguam syarikat itu terlibat mengupah samseng hingga mencetuskan insiden kekecohan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di Selangor pada awal Isnin dan semalam.


Rakan firma guaman itu, Khoo Guan Huat, berkata dalam satu kenyataan tiada mana-mana peguam syarikat itu ditahan oleh polis dan firma tersebut tidak tahu langsung mengenai apa yang dikatakan mengupah samseng.


Beliau berkata firma berkenaan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan sedemikian.



Menteri Dalam Negeri  Muhyiddin Yassin hari ini berkata dua peguam dari syarikat pemaju, One City Development telah mengupah samseng untuk mengambil alih Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights, dan mereka telah menceroboh kuil, sehingga mencetuskan rusuhan.


Muhyiddin juga berkata peguam-peguam tersebut adalah antara 21 orang yang ditahan oleh polis.


Khoo berkata Skrine kini mewakili pihak pemaju dalam prosiding sivil melibatkan pemilikan tanah yang kuil itu terletak tetapi “kami secara mutlak menyatakan bahawa kami bukanlah peguam yang dirujuk oleh Menteri Dalam Negeri.”


Beliau berkata semua langkah yang diambil oleh firma guaman sebagai peguamcara bagi pemaju berkenaan telah dan akan terus secara tegas mematuhi undang-undang.


Bernama turut memetik satu lagi firma guaman, Tetuan Thomas Philip, yang berkata syarikat itu tidak lagi mewakili One City Development berhubung pelaksanaan penghakiman persetujuan melibatkan Kuil Sri Maha Mariamman.



Rakan firma guaman itu, Mathew Thomas Philip, berkata dalam satu kenyataan bahawa syarikat itu tidak lagi mewakili One City Development pada 2015 apabila firma guaman lain mengambil alih perkara itu.


“Saya telah terlibat dalam rundingan yang sukar sehingga menghasilkan penghakiman persetujuan yang dipersoalkan berjaya direkodkan di mahkamah, untuk menyelesaikan pertikaian secara aman dengan pihak kuil pada 2014.


“Bagaimanapun, saya ingin menjelaskan bahawa sejak 2015, firma itu tidak pernah sama sekali terlibat dalam pelaksanaan penghakiman persetujuan, kerana perkara itu telah diambil alih oleh firma peguam lain.


Sumber : Malaysiakini


Norlida Ishak Shop