Expired : 18.06.18

Aktiviti agama di Terengganu di tangguh

KUALA TERENGGANU, 20 Syaaban 1441H, Selasa – Semua aktiviti keagamaan di negeri ini ditangguhkan sehingga 28 April, kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda.


Katanya, perkara itu diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selaku ketua agama Islam negeri dan selaras dengan langkah kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.


Beliau berkata, aktiviti seperti solat Jumaat, solat fardu dan program di masjid serta surau seluruh negeri perlu ditangguh sehingga tarikh berkenaan atau masa yang akan diumumkan kelak.


“Sultan Mizan berasa dukacita atas kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat jelata sehingga menyebabkan hidup rakyat terkesan dengan penularan wabak COVID-19.


“Baginda meminta supaya rakyat bersabar dan banyakkan berdoa lebih-lebih lagi dengan kehadiran bulan Ramadan yang hampir tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Dalam perkembangan lain, Osman berkata, zakat fitrah pada tahun ini ditetapkan pada kadar tidak kurang daripada RM7 seorang.


Pembayaran zakat boleh dibuat melalui pelbagai kaedah sama ada secara tunai kepada amil bertauliah, bayaran dalam talian menggunakan aplikasi Snap & Pay yang boleh dimuat naik menerusi aplikasi ‘Google Play’ dan ‘Play Store’ serta ‘Financial Process Exchange’ (FPX) yang boleh diakses menerusi portal rasmi www.maidam.gov.my.


“Selain itu pembayar juga boleh menggunakan saluran perbankan internet yang dilantik oleh Maidam dan sebarang maklumat berkaitan boleh didapati di www.maidam.gov.my.


“Bagaimanapun untuk menyesuaikan dengan keadaan sekarang, Maidam menggalakkan umat Islam melaksanakan pembayaran zakat dan fitrah menggunakan cara dalam talian,” katanya dalam kenyataan berasingan.


Osman berkata, pembayar yang tertakluk di bawah arahan kuarantin dinasihat supaya mewakilkan bayaran zakat fitrah dan zakat lain kepada orang lain untuk berurusan dengan amil atau lebih mudah menggunakan aplikasi dalam talian.


“Maidam juga mengenakan peraturan ketat ke atas prosedur penerimaan zakat oleh amil pada tahun ini. Amil dikehendaki mematuhi peraturan kerajaan dengan melakukan jarak sosial, memakai penutup hidung dan mulut serta tidak berjabat tangan dengan pembayar ketika urusan pembayaran dan penerimaan zakat,” katanya. – Bernama


The post Aktiviti agama di Terengganu di tangguh appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.