Expired : 18.06.18

“ALA DUDUK DAPUR JE PUN ITU PUN NAK BERGAYA..” TUAH IRAS PUTERA MATEEN, ZHAEIM AZIZ NEKAD TERUSKAN CITA-CITA MENJADI CHEF DEMI ARWAH AYAH

Dirinya masih muda, namun sudah mula meraih perhatian. Persis wajah Pangeran Putera Mateen Brunei menjadikan dirinya terkenal di laman sosial. Apatah lagi, dirinya adalah anak kepada salah seorang hos TV terkenal, Allahyarham Aziz Desa. Walau begitu, itu bukan tiket mudah bagi dirinya untuk tampil dengan acuannya tersendiri. Dek kicauan Tweetnya yang viral bar-baru ini, GL berkesempatan untuk menemubual dan memintanya berkongsi kisah inspirasi dan peribadinya.



GLAM Lelaki: Boleh anda kongsikan tentang latar belakang anda. Nama penuh, umur, adik beradik, kerjaya, hobi dan apa saja yang menarik tentang diri anda?


ZHAEIM AZIZ: Terima kasih buat editor web GL kerana sudi menemubual saya. Baiklah, nama saya Mas Zhaeim Zhiddin B Abdul Azid, berumur 19 tahun, mempunyai 6 orang adik beradik dan saya bekerja sebagai chef pastry. Hobi saya pula bersukan dan bersenam, dan sekiranya saya punya masa lapang saya suka merakam video motivasi tentang kepentingan bersenam dan lain-lain. Saya juga aktif mengedit video dan fotografi.


GLAM Lelaki: Kenapa memilih untuk profesion masakan dan kulinari? Kepuasan yang diperolehi? Mungkin boleh kongsikan pengalaman pahit manis sepanjang dalam bidang ini?


ZHAEIM AZIZ: Saya memilih bidang masakan kerana hendak memenuhi kehendak arwah Ayah iaitu Allahyarham Aziz Desa pengacara TV9 dan TV3 yang ingin seorang anaknya menjadi seorang chef. Tiga bulan sebelum beliau pergi, saya dapat tawaran belajar sebagai chef pastri di Kolej Vakasional Langkawi. Pada mulanya saya tidak berapa suka tentang dunia masakan, namun selepas belajar, saya semakin meminatinya dan mahir. Pengalaman manis adalah saya dapat berkongsi masakan saya serta sokongan yang saya terima dari mama dan ahli keluarga lain.



GLAM Lelaki: Apa agaknya pesanan yang pernah dititipkan oleh arwah ayah awak sewaktu anda membuat keputusan untuk terjun dalam bidang ini? Sedangkan arwah ayah dan abang awak berada dalam bidang penyiaran.


ZHAEIM AZIZ: Mama sangat gembira saya dapat mengikuti jejak sahabat arwah ayah saya seperti Chef Wan, Chef Liza mangkuk tingkat dan lain-lain. Arwah ayah seringkali berpesan kepada saya. ‘apabila kita semakin dewasa, makin ramai orang kenal, makin ramailah musuh-musuh/manusia yang tidak suka dengan kita, jadi kita ambil komen positif dan respon negatif kita ambil sebagai pembaiki diri kita untuk masa hadapan.



GLAM Lelaki: Pernah tak anda terfikir kapsyen yang ditulis awak viral? Apa motif dan cerita di sebalik tweet tu?


ZHAEIM AZIZ: Ya saya sudah agak tweet itu akan jadi isu dan tular, mungkin kesilapan saya mengenakan kapsyen yang membuatkan ramai yang salah faham. Sebenarnya saya tulis kapsyen itu sekadar menanyakan sama ada atau tidak chef lelaki di Twitter ini. Motifnya hanya kerana saya ingin tahu siapa lagi chef lelaki yang ada yang selalu membuat hantaran dim sosial untuk dijadikan kenalan dan inspirasi. Itu saja.



GLAM Lelaki: Awak juga turut dikenali dahulu lepas ramai yang mengatakan anda persis Putera Mateen. Pandangan awak?


ZHAEIM AZIZ: Bukan saya yang cakap ya (sambil gelak kecil). Kisahnya bermula selepas ramai yang DM kata muka saya seiras Putera Mateen. Kemudian, saya saja-saja upload di Instagram dan tak sangka ia turut tular. Sejujurnya, celah mana serupa saya pun tak pasti, tetapi tak sangka ‘gurauan’ ini menyebabkan saya popular di Instagram sehingga ke Brunei dan Indonesia.



GLAM Lelaki: Awak juga dilihat sering kali dilihat sentiasa menjaga penampilan. Tip yang anda amalkan untuk kelihatan segak sentiasa.


ZHAEIM AZIZ: Saya sering kali diajukan soalan ini. Apa yang boleh saya katakan, Allah melahirkan kita sesempurnanya. Cuma kita perlu sentiasa yakin dengan diri dan kemampuan sendiri. Saya juga seorang yang gemar berfesyen dan mementingkan keterampilan diri. Tipnya, perlu sentiasa tampak kemas, baju yang kecil jangan dipakai lagi, kurangkan memakai pencuci muka sebaliknya rajinkan diri periksa kulit di klinik.



GLAM Lelaki: Bakat dan rupa, mana satu penting untuk awak?


ZHAEIM AZIZ: Untuk adil, bagi saya kedua-duanya amat penting kerana mahukan kekemasan ketika memasak, barulah saya akan rasa keyakinan dan bersemangat untuk memsak, tetapi sesetengah orang akan kata “alaa duduk dapur je pun itu pun nak kacak nak bergaya”. Saya tak peduli sebenarnya kerana bagi saya itulah kunci untuk saya rasa bersemangat dalam bidang masakan.


GLAM Lelaki: Impian awak dan dim awak melihat diri awak dalam tempoh 10 tahun akan datang?


ZHAEIM AZIZ: Impian saya adalah untuk membuka kafe seperti Starbucks yang santai namun dengan harga jauh lebih murah, dan Insha Allah saya cuba untuk masuk dalam bidang penyiaran seperti arwah ayah inginkan dan menjadi chef yang dikenali ramai.



GLAM Lelaki: Kata-kata akhir dan pesanan awak kepada semua golongan muda di luar sana?


ZHAEIM AZIZ: Ilmu perlu dicari , dipelajari dan dikuasai. Barulah kita boleh berjaya. Tanpa ilmu kita tidak boleh berjaya. Begitu juga dengan harta kekayaan. Jika tiada ilmu pengurusan wang dan harta, maka harta yang diwarisi tidak akan kekal lama. Semoga yang lain mempunyai matlamat dan objektif dalam hidup supaya kita tahu apa akan terjadi pada kita suatu hari nanti yang paling penting bila kita dah berjaya jangan sesekali kita lupakan pencipta kita, keluarga kita dan juga sahabat sahabat kita.


The post “ALA DUDUK DAPUR JE PUN ITU PUN NAK BERGAYA..” TUAH IRAS PUTERA MATEEN, ZHAEIM AZIZ NEKAD TERUSKAN CITA-CITA MENJADI CHEF DEMI ARWAH AYAH appeared first on Glam Lelaki.


Norlida Ishak Shop