Expired : 18.06.18

Aliff Syukri terkilan tak tercalon AJL, ‘suara saya tak sedap?’ (VIDEO)

Jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri terkilan tidak pernah tercalon masuk Anugerah Juara Lagu. — Foto ihsan Instagram/Aliff Syukri
Jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri terkilan tidak pernah tercalon masuk Anugerah Juara Lagu. — Foto ihsan Instagram/Aliff Syukri

KUALA LUMPUR, 11 Feb — Kecewa tidak tercalon Anugerah Juara Lagu (AJL), jutawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman meluahkan rasa hatinya di laman sosial.

Katanya orang sepertinya patut dibawa masuk ke pertandingan itu kerana menghasilkan lima lagu sehingga mendapat jutaan tontonan di YouTube.


“Tapi kenapa AJL tidak menghargai bakat saya dan memartabatkan lagu saya di persada lebih tinggi? Sepatutnya orang macam saya ini dibawa dan diangkat lagu itu. Lagu saya sedap. Semua yang mendengar suara saya sedap,” katanya




Penyanyi Bobo di Mana dan Abang Nak Tegur itu juga mengakui suaranya lunak setanding penyanyi Anuar Zain, Faizal Tahir, dan Hafiz Suip.


“Lagu nasyid sudah, lagu disco sudah, lagu dangdut sudah, lagu apa semua saya cuba. Tapi satu pun tidak tercalon. Adakah wajar saya dibuat sedemikian?


“Sedangkan lagu saya yang ditonton tu tiada orang? Radio tidak keluar, anugerah tak dapat, kenapa dan mengapa dan sebab apa saya diperlakukan sedemikian?” soalnya dalam video di YouTube.


Bagaimanapun pengasas produk D’Herbs itu tidak kisah jika tidak menang apa-apa anugerah asal dicalonkan.


Katanya penantian selama beberapa tahun ibarat sia-sia kerana telah berusaha menghasilkan beberapa lagu.


Tambahnya, pihak penganjur pertandingan sengaja tidak menghargai bakatnya dalam nyanyian dan tidak timbul soal bayaran tinggi jika dijemput dalam pertandingan itu.


Video luahan hati berdurasi 2 minit 17 saat dan sambungan di YouTube selama hampir 11 minit mendapat 384,483 tontonan setakat ini mendapat reaksi pelbagai di kalangan pengikut.


Ada yang menyokong namun tidak kurang juga yang menolak cadangan pencalonan kerana dikatakan beliau tidaklah berbakat besar.


Hantaran tersebut juga mendapat perhatian pelakon Zarina Zainuddin yang menasihati Aliff supaya berusaha mempertingkatkan ilmu nyanyian.


“Jangan marah Datuk Seri, dalam hidup bukan semua kita boleh dapat Allah bagi ni lebih tapi kurang kat sini bukan Datuk tak boleh menyanyi boleh tapi kena pergi kelas vokal,” kata Zarina, turut menasihati Aliff agar tidak bertelagah dengan penyanyi lain.