Expired : 18.06.18

Amisha, Rifdean bawa cabaran negara

PEMENANG pingat emas dan perak Kejohanan Muay Thai Dunia, Nur Amisha Azrilrizal dan Mohammad Rifdean Masdor bakal membawa cabaran negara pada Kejohanan Muay Thai Asia Timur 2019 di Hong Kong, bermula Rabu hingga Ahad ini.


Nur Amisha,17, pemenang pingat emas pada 2016 dan Mohammad Rifdean, pemenang pingat perak tahun ini dijangka akan memberikan saingan kepada peninju-peninju hebat dari tuan rumah, Korea Selatan dan China.


Kedua-dua peninju dibimbing Ketua Jurulatih Muay Thai Perak, Bernard Radin, akan bertanding dalam kategori wanita 51 kilogram (kg) dan lelaki 48 kg.


Bernard ketika dihubungi berkata, dia tidak meletakkan sasaran kepada kedua-dua peninju itu dan menganggap kejohanan itu sebagai aksi pemanas badan sebelum beraksi pada Kejohanan Remaja Dunia 2019 di Turki, bulan hadapan.


Menurutnya, namun dia tidak terkejut sekiranya kedua-dua peninju remaja itu akan membuat kejutan pada kejohanan itu berdasarkan prestasi semasa yang sangat memberangsangkan.


"Rifdean baru sahaja pulang dari Kejohanan Muay Thai Dunia di Bangkok bulan lalu dan masih dalam proses untuk memulihkan kecergasannya dan kini berada tahap 70 ke 80 peratus.


"Manakala Amisha yang sudah mendapat pelepasan pihak sekolah untuk menyertai kejohanan ini juga dalam proses sama, ini saya anggap sebagai kejohanan pemanas badan kedua-dua mereka," katanya.


Menurut Bernard, walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran namun dia berharap kedua anak didiknya itu tidak alpa dan memberikan persembahan terbaik bagi mencabar peninnju negara lain.


Katanya, Rifdean sekali lagi terpaksa melompat kategori kerana kategori beratnya iaitu 45 kg tidak dipertandingkan dan terpaksa bertanding dalam kategori lebih berat iaitu 48kg.


"Walaupun terpaksa melompat kategori namun saya yakin dia mampu melakukan kejutan seperti mana dilakukannya pada Kejohanan Muay Thai Dunia bulan lalu," katanya.


Norlida Ishak Shop