Expired : 18.06.18

Amukan lelaki berparang, 2 lelaki maut ditetak dalam 10 minit



ORANG ramai sekitar pekan Buloh Kasap, Segamat Johor dikejutkan dengan kejadian seorang lelaki menetak dan menikam dua warga emas dalam tempoh 10 minit di sebuah kedai kopi hari ini.


Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, suspek yang berusia 33 tahun menggunakan sebilah parang berukuran 0.6 meter untuk menyerang kedua-dua mangsa yang berumur lingkungan 70 dan 60-an.


Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian pertama pada 6 petang, mangsa berusia 70-an diserang ketika minum di sebuah kedai kopi di pekan Buloh Kasap.


“Berdasarkan keterangan saksi, suspek dilihat datang dengan menunggang motosikal Modenas biru dan meletak motosikalnya di kawasan berhampiran kedai kopi berkenaan.


“Suspek kemudiannya datang ke arah mangsa dan menetaknya berulang kali menyebabkan mangsa mati serta-merta akibat parah di muka dan badan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Noor Ariffin berkata, kira-kira 10 minit kemudian, suspek berjalan menuju ke sebuah kaki lima menjual durian dengan jarak kira-kira 200 meter dari lokasi pertama serta menyerang seorang lelaki penjual durian berusia 60-an, menggunakan senjata sama.


“Mangsa kedua ditikam sekali di bahagian hadapan badan. Ekoran itu, mangsa terus rebah.


“Mangsa sempat dibawa ke klinik kesihatan awam Buloh Kasap untuk menerima rawatan kecemasan, namun meninggal dunia akibat cedera parah.


“Suspek dipercayai warga tempatan ditahan di tempat kejadian oleh sepasukan anggota polis,” katanya.


Pemeriksaan polis di tempat kejadian menemui senjata digunakan dalam serangan itu.


Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian kerana siasatan masih dijalankan.


“Punca kejadian masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


“Saksi diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di nombor 07-9324222 bagi membantu siasatan,” katanya.


The post Amukan lelaki berparang, 2 lelaki maut ditetak dalam 10 minit appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop