Expired : 18.06.18

Anak Abby Abadi kritikal, doktor pesan ‘jangan jauh-jauh’ malam ini

Anak Abby Abadi yang baru berusia 11 hari iaitu Muhammad Danial Firman bergantung kepada mesin pernafasan. — Foto ihsan Instagram/ Abby Abadi 112
Anak Abby Abadi yang baru berusia 11 hari iaitu Muhammad Danial Firman bergantung kepada mesin pernafasan. — Foto ihsan Instagram/ Abby Abadi 112

KUALA LUMPUR, 7 Okt — Anak penyanyi Abby Abadi yang baru berusia 11 hari kini kritikal berikutan 90 peratus pernafasan bayi itu hanya bergantung kepada mesin.


“Maksimum dah penggunaan mesin itu untuk baby seusia Danial. Jadi memang keadaan sangat kritikal,” katanya di Instagram hari ini, merujuk keadaan anaknya Muhammad Danial Firman, hasil perkahwinan beliau dengan bekas wartawan Faizal Zakaria.


Abby, nama sebenar Arbaiyah Abdul Manan, 41, berkata doktor juga berpesan kepada beliau dan suami supaya “jangan pergi jauh-jauh” dari Unit Rawatan Intensif Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh pada malam ini.


Bekas anggota kumpulan Elite  berkata doktor memaklumkan untuk bertemu mereka ketika beliau dan suami berada di Tapah untuk perjalanan ke Lumut  menyebabkan pasangan tersebut berdebar-debar hingga “terfikir macam-macam”.


“Sampai Sungai Buloh pukul 10.30 malam tadi terus ke NICU dari jauh nampak dah kaki Danial bergerak-gerak. Ya Allah bersyukur sangat-sangat! Baby kami masih ada. Terus meluru jenguk Baby Danial, basuh tangan terus pegang dia... berlinang air mata...” katanya.


Mengakui sayu mendengar keterangan doktor itu, beliau mengakui beberapa doktor lain juga menyatakan ada “berbagai-bagai kemungkinan boleh berlaku” berikutan anaknya lahir “dalam keadaan yang sangat tidak bersedia” dengan seberat hanya 535 gram.


“Tapi saya dan suami kuatkan hati dan tak putus berdoa serta berusaha mengharapkan keajaiban dari Allah sebab Allah maha berkuasa ke atas makhluknya,” kata Abby sambil mengharapkan doa daripada orang ramai.


“Mohon teruskan doa untuk bayi kami ye. Hanya doa boleh ubah takdir dia. Ikutkan takut nak kongsi keadaan bayi tapi kalau tak kongsi, tak ada pulak yang mendoakan untuk anak kami nanti,” katanya lagi.


Muhammad Danial Firman dilahirkan pramatang di Hospital Sungai Buloh pada 10.43 pagi Jumaat lalu. Pasangan itu berkahwin pada 14 Ogos 2015. Pada 2016, bayi dalam kandungan Abby meninggal dunia di dalam perut. Pada 2017 pula selebriti itu mengalami keguguran.  


Norlida Ishak Shop