Expired : 18.06.18

Anak beranak Surat [METROTV]

“MELIHAT kesungguhan abah menunaikan amanah dan tanggungjawab menghantar surat membuatkan saya tersentuh, sekali gus mencetuskan minat saya menceburi bidang ini.”


Demikian kata Ketua Penyelia Posmen Serahan Selangor, Ally Eimran Miswan, menceritakan sebab dia menyertai Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia), 26 tahun lalu.


Ally Eimran, 47, generasi kedua yang bekerja sebagai posmen selepas mengikut jejak langkah bapanya, Miswan Surat, 68.


Pekerjaan mulia menjalankan perkhidmatan untuk masyarakat itu diteruskan pula anak sulungnya Mohd Amierul, 24, sejak enam tahun lalu.


Menurut Ally Eimran, sebelum ini dia bekerja sebagai operator kilang, namun berhenti kerana mahu meneruskan legasi bapanya sebagai posmen yang disifatkan pekerjaan dihormati dan disanjung masyarakat.


DARI kiri, Miswan, Mohd Amierul dan Ally Eimran. FOTO Sairien Nafis



“Saya masih ingat ketika abah datang ke sekolah untuk menghantar surat, abah disambut kawan saya dengan meriah seperti selebriti.


“Mereka mengelilingi abah dan bertanya macam-macam perkara serta bangga dapat bersalam dengan abah.


“Saya seronok melihat situasi itu dan bangga kerana abah sangat disanjung.


“Tambahan lagi, apabila kawan sekolah pun kagum apabila tahu posmen itu adalah abah saya,” katanya ditemui di Pusat Mel Nasional, Seksyen 21, Shah Alam, baru-baru ini.


Selepas empat tahun bekerja kilang, Ally Eimran bertanya bapanya kekosongan jawatan sebagai posmen kerana mahu masa depan yang lebih baik sebelum menghadiri temuduga terbuka di ibu pejabat Pos Malaysia di Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur, awal 1993.


“Abah menyokong keputusan saya dan memberitahu pekerjaan posmen sekarang lebih terjamin selepas dikorporatkan.


“Pos Malaysia dahulu dipanggil Jabatan Perkhidmatan Pos milik kerajaan sepenuhnya.


“Sekurang-kurangnya pekerjaan posmen ini mengubat kekecewaan saya selepas cita-cita menjadi anggota bomba tidak kesampaian.


“Saya suka pekerjaan dengan pakaian seragam selepas melihat abah segak mengenakan seragam posmen,” katanya.


MISWAN, Ally Eimran dan Mohd Amierul melawat Pusat Mel Nasional. FOTO Sairien Nafis



Selain tiga beranak berkenaan, bapa saudara Ally Eimran turut menjadi posmen iaitu B Ajman Surat, 49, yang bertugas di Sabak Bernam, manakala seorang adik iparnya yang juga rakan karib, Maizan Abd Razak, 52, bekerja dalam bidang sama di Kelana Jaya.


Bagi Mohd Amierul, pelbagai pengalaman pahit dan manis ditempuh ahli keluarganya sepanjang bekerja sebagai penghantar surat dan turut menjadi pendorong dia memilih kerjaya sama.


“Mendengar cerita mereka saya pun berkobar-kobar mahu bergelar posmen. Kita lihat kerja mereka senang, sedangkan banyak dugaan dan risiko perlu ditempuhi ketika bertugas.


“Jadi saya cabar diri untuk buat kerja seperti datuk dan abah,” katanya yang bertugas di Cawangan Serahan Mel Rawang.


Sementara itu, Miswan berkata, menjadi posmen cita-cita sejak kecil sehingga dia yang bekerja sebagai pembantu am di Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika itu sanggup berhenti demi menggapai impiannya.


MISWAN (duduk) bersama rakan posmen di Pusat Mel Nasional Seksyen 21, Shah Alam. FOTO Sairien Nafis



“Ketika saya darjah tiga ada seorang posmen bernama Mahmud. Apabila dia masuk kampung saya suka kejar dia sebab teruja lihat dia menunggang basikal berwarna merah.


“Tidak sangka ketika saya melapor diri di pejabat pos Jalan Sultan, Petaling Jaya pada 1980, saya jumpa semula Mahmud. Dia bertugas sebagai penyelia di pejabat pos berkenaan,” katanya yang bersara pada 2007.


Fakta menarik mengenai tiga beranak ini, ketiga-tiganya anak sulung, malah Miswan turut berkongsi tarikh lahir sama dengan Mohd Amirul iaitu pada 24 April dan nama Surat mungkin secara kebetulan ada kaitan dengan pekerjaan posmen.


Norlida Ishak Shop