Expired : 18.06.18

Anak pengasas Huawei cuba elak diekstradisi ke Amerika

OTTAWA, 30 Rabiulawal 1440H, Sabtu – Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Huawei – sebuah syarikat telekomunikasi China – Meng Wanzhou, yang berdepan ekstradisi ke Amerika Syarikat (AS), mengemukakan rayuan di mahkamah Kanada, hari ini.


Meng yang ditangkap beberapa hari lalu memohon ikat jamin dalam kes yang telah menjejaskan pasaran saham dan menimbulkan keraguan ‘gencatan perang’ perdagangan rapuh antara Washington dan Beijing.


Bagaimanapun, pendakwa raya kerajaan Kanada yang meminta mahkamah tidak memberi ikat jamin, berkata, tuduhan terhadap anak pengasas Huawei itu membabitkan dakwaan AS bahawa dia menggunakan syarikat palsu untuk memasuki pasaran Iran.


AS sebelum ini mengenakan sekatan ke atas Iran.


Mahkamah dijangka membuat keputusan berhubung permohonan Meng Isnin ini. Buat masa ini, dia ditahan di penjara.


Meng ditahan di Vancouver pada 1 Disember lalu, ketika transit dalam perjalanan dari Hong Kong ke Mexico, atas permintaan pihak berkuasa AS.


Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara 30 tahun.


Pendakwa raya Kanada berkata, Meng menafikan kepada bank AS bahawa Huawei ada kaitan dengan SkyCom, sedangkan ‘SkyCom adalah Huawei’.


SkyCom yang berpangkalan di Hong Kong didakwa melanggar sekatan AS ke atas Iran bermula 2009 hingga 2014.


Perluasan empayar Huawei dari China ke dunia luar mencetuskan kebimbangan di kalangan kerajaan negara Barat, berikutan hubungan rapat syarikat itu dan pihak berkuasa Beijing, selain kesediaannya mengeksport teknologi ke negara yang dikenakan sekatan.


Sejak beberapa tahun lalu, Huawei dilaporkan mengetepikan sekatan yang dikenakan ke atas Korea Utara dan Iran, menyediakan negara terbabit dengan rangkaian peralatan telekom yang boleh digunakan untuk perisikan atau apa yang disebut sebagai teknologi berganda.


Tetapi majoriti kritikan yang mengelilingi Huawei ialah pengaruhnya yang semakin meningkat terhadap komunikasi global pada tahun-tahun akan datang.


Syarikat China itu bakal memperkenalkan teknologi internet tanpa wayar 5G di seluruh dunia dan Barat mendakwa teknologi terbaharu yang mampu meningkatkan kelajuan internet serta tindak balas, boleh mengancam keselamatan negara yang menggunakannya.


Menjelang pelancaran 5G oleh Huawei, beberapa negara memberi amaran keselamatan terhadap penggunaan perkakasan China, yang didakwa berasal daripada teknologi digunakan Beijing untuk tujuan perisikan di seluruh dunia. – Agensi


The post Anak pengasas Huawei cuba elak diekstradisi ke Amerika appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop