Expired : 18.06.18

Anak sulung tak mampu tatap ibu, dua adik sebelum dikebumi


TANAH MERAH, 3 Ramadan 1440H, Rabu – Seorang lelaki warga Thailand yang merempuh sebuah motosikal sehingga mengakibatkan seorang ibu muda dan dua anak maut serentak di Jalan Machang – Tanah Merah – Jeli di Nibong, di sini semalam, direman selama empat hari.


Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, suspek terbabit direman selama empat hari bermula hari ini hingga Sabtu depan bagi membantu siasatan lanjut.


“Berdasarkan siasatan awal suspek mengaku mendapatkan bekalan daun ketum itu dari satu kawasan di negeri ini untuk bekalan di Tanah Merah.


“Namun, kita akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes menyeludup daun ketum ini mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Kampung Gual Jedok di sini , hari ini.


Suzaimi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh dadah jenis syabu atau pil kuda.


“Kita perlu menunggu laporan kimia terlebih dahulu dan Seksyen 44 APJ 1987 ini membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000,” katanya.


Sementara itu, suasana pilu menyelubungi rumah keluarga Allahyarhamah, Nor Zurita Shah Kadir, 27, yang maut ketika menghantar anak keduanya, Muhammad Adam Mukhriz Adnan, 5, ke tabika dengan ditemani anak bongsu, Siti Husna Qaisara, 4.


Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi, tiga beranak itu maut serentak selepas motosikal Honda EX5 dinaiki mereka dirempuh Proton Wira yang bermuatan 150 kilogram daun ketum.


Bapa Allahyarham Nor Zurita, Shah Kadir Jaafar, 57, berkata paling terkesan dengan kejadian itu adalah menantunya Adnan Abdullah 27, dan anak sulong pasangan itu, Siti Hajjar Qistina, 9.


“Cucu saya (Siti Hajjar Qistina) tidak mempunyai kekuatan untuk melihat jenazah ibu dan dua adiknya ketika hendak dikebumikan kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi (kelmarin) di Tanah Perkuburan Islam Gual Jedok di sini.


“Kali terakhir saya bertemu anak kedua ini sebelum kejadian ketika dia balik hendak mandi. Sebaik dimaklumkan dia nahas, saya bergegas ke lokasi kejadian dan berharap pelakunya mesti dihukum seadil-adilnya,” katanya. – Bernama


The post Anak sulung tak mampu tatap ibu, dua adik sebelum dikebumi appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop