Expired : 18.06.18

“Anda Pun Kena Ikhlas Bagi, Bukan Harap Balasan Posting” – Janna Nick Rimas Didesak Buat IG Review

Apabila selebriti mempunyai jutaan pengikut di laman media sosial, sudah pasti ramai peniaga atas talian yang cuba merebut peluang ini untuk meminta mereka melakukan ulasan barangan.


Pun begitu, pelakon Janna Nick meluahkan rasa kesal apabila ada segelintir sikap peniaga ini yang terlalu mendesaknya untuk melakukan ulasan produk mereka. Walhal wanita itu melakukannya atas dasar budi bicara tanpa meminta sebarang bayaran pun.


“Saya terima banyak makanan dan saya okay awak nak bagi terima dengan hati terbuka takkan nak tolak kan… tapi bila ada yang tanya bila nak post kita punya, bila nak buat video kami?”


janna nick luah rasa kesal pada peniaga atas talian


Disebabkan oleh paksaan ini, Janna merasakan seperti ulasan barangan ini sudah menjadi seperti komitmen kerja yang perlu dilakukan setiap kali diminta. Dia tidak menghalang sesiapa yang menghantarnya apa-apa barangan tetapi tidak boleh menganggap bahawa semuanya patut dipromosikan.


“Sebab ada masa saya dapat makanan rasa dia kurang sedap, jujur cakap tapi takkanlah saya nak buat story dan beritahu tentang benda ini.”


Jelasnya lagi, dia bukan tidak menyokong bisnes atas talian tapi berharap agar kesemua peniaga ini ikhlas memberikan barangan kepadanya dan bukannya mengharapkan balasan ulasan daripadanya.


“Saya bukan tak support online bisnes tapi you all pun kena ikhlas bagi bukan mengharapkan balasan posting sebagainya, itu lebih ikhlas!”


janna nick luah rasa kesal pada peniaga atas talian


Janna juga mendedahkan bahawa ada peniaga yang pernah hantar barang sebelum ini, terus menghantar produk mereka lagi tanpa bertanya padanya dahulu. Malahan peniaga ini tidak segan untuk mendesaknya untuk memuat naik lagi ulasan baru.


“Kalau saya pernah post sebelum ini itu bukan bermaksud anda boleh harapkan saya post lagi.”


Bahkan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membuatkan ramai hilang punca pendapatan, Janna turut melakukan ulasan barangan untuk rakan-rakannya yang baru berjinak dalam bisnes atas talian.


Mengakhiri luahan panjang tersebut, Janna memohon maaf kepada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kata-katanya itu.


Sumber: mStar Online