Expired : 18.06.18

Annuar Gariskan Langkah Segera Atasi Kegagalan Kongres Maruah Melayu

KUALA LUMPUR, 7 Okt – Kongres Maruah Melayu (KMM) yang berlangsung semalam, Ahad berakhir dengan penerimaan negatif dan pesimistik dari banyak pihak.


Ia berdasarkan komentar awam yang ternyata ramai sinis dengan kongres tersebut, ujar Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.


“Dalam kata lain, defisit keyakinan terhadap kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam konteks membela maruah Melayu meningkat.


“Sebahagiannya berpunca dari penolakan dan keraguan yang ditimbulkan oleh kepimpinan PH sendiri,” tegas Annuar dalam satu hantaran di Facebook.


Dalam amanat di dalam kongres tersebut, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir berterusan menyalahkan Melayu kerana malas dan tidak mahu rebut peluang serta mengakui kerajaan PH walaupun dipimpin oleh orang Melayu tetapi gagal menjayakan agenda Melayu.


Berdasarkan situasi tersebut, Annuar berkata orang Melayu harus segera mengorak langkah mencari jalan lain untuk meneruskan perjuangan mereka dalam konteks masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.


“Justeru Muafakat Nasional harus segera menyiapkan ‘roadmap’ baru dan tawaran baru mengikut acuan dan ‘framework’ yang digariskan dalam Piagam Muafakat Nasional (PMN)


“PMN menetapkan pembelaan maruah Melayu berpaksikan prinsip Islam, dengan menjunjung teras Rukunegara serta Perlembagaan negara.


“Ia dibina di bawah naungan penyatuan ummah dan Muafakat Nasional yang harmonis,” tambahnya.


Jelasnya lagi, dalam kata lain PMN tidak mengikut jalur rasis, melampau dan bercanggah dengan semangat Malaysia yang majmuk.


“Terdapat resolusi KMM yang boleh kita persetujui dan akan kita laksanakan. Namun ia perlu dilengkapkan dengan penegasan baru, tawaran baru yang lebih berani tapi lebih bijaksana.


“UMNO dan PAS yakin kita berupaya memimpin satu muafakat ke arah perubahan yang benar-benar menyeluruh buat ummah,” katanya.


Semalam, atas keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO, parti menghantar wakil yang diketuai Annuar dan beberapa orang lagi MKT hadir ke KKM anjuran Pusat Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya (UM) bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Stadium Malawati, Shah Alam. – UMNO ONLINE


Norlida Ishak Shop