Expired : 18.06.18

Anwar: Beri tumpuan pada sektor pertanian

Lebih banyak fokus perlu diberikan kepada sektor pertanian dan perladangan, termasuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi petani dan peladang, kata Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim.


Menurutnya, biarpun sektor pembangunan fizikal penting bagi negara, pertanian juga mempunyai keupayaan merancakkan ekonomi negara.


“Untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara, kalau pembangunan saja rancak sekarang, dengan mengenepikan golongan ini, ia tidak akan seimbang.


“Import bahan makanan dan ternakan sudah terlalu tinggi untuk negara. Dengan penduduk yang ada, kita sudah import RM52 bilion. Ikan segar, baja, sayur…ini terlalu tinggi,” katanya berucap merasmikan Program Jalinan Mesra Peladang 2019 di Batu Caves, semalam.


Turut hadir adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin serta Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Phahrolrazi Mohd Zawawi.


Anwar yang juga Anggota Parlimen Port Dickson, berkata kewujudan agensi yang membuat penyelidikan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) tidak dimanfaatkan sebaiknya untuk dikomersialkan.


“Kita sekadar ada penyelidikan yang MARDI buat, tapi tidak dapat diterjemahkan di peringkat komersial. Kita ada Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian yang besar, tapi peranannya tidak diperluas.


“Sekarang kita harus ada sikap baru untuk melonjak hal ini,” katanya.


Beliau turut menggesa supaya agihan bantuan kepada pihak yang lebih wajar diberi keutamaan.


“Kalau ada tubuh badan tapi tidak dibantu, dia akan jadi persatuan biasa. Kena pastikan baja diperuntukkan menerusi NAFAS, biar dia hidup. Dulu, lembaga padi diswastakan, saya kurang setuju, tapi saya desak sebahagian saham diberi kepada NAFAS.


“Penanam padi itu membabitkan ahli peladang. NAFAS kalau diswastakan, diambil pihak swasta, ini akan membabitkan dasar. Sebab itu BERNAS (Padiberas Nasional) sekarang setuju untuk mengembalikan balik sebahagian saham atau kepentingan kepada peladang dan mungkin NAFAS.


“Saya setuju dan sokong supaya keuntungan dicatat nanti balik (dikembalikan) kepada penternak dan penanam padi. Dengan dasar seperti ini, kita boleh bawa perubahan (kepada sektor pertanian). Sebab itu peranan NAFAS penting,” katanya.


Norlida Ishak Shop