Expired : 18.06.18

Anwar bincang dengan PM kes Wan Ji

Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim akan bertemu perdana menteri untuk berbincang tentang hukuman penjara setahun ke atas pendakwah bebas, Wan Ji Wan Husin di bawah Akta Hasutan.


Anwar berkata, secara prinsipnya Pakatan Harapan menolak undang-undang seperti Akta Hasutan yang mewakili ‘pemikiran usang dan lapuk’.


“Itu tidak melambangkan sentimen baru. Maknanya kerangka pemikiran usang lapuk, jumud itu nampaknya masih wujud dalam pentadbiran dan dalam sistem negara dan ini harus ditangani dengan baik.


“Saya insya Allah dalam masa singkat akan merujuk perkara ini berbincang dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.


Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam menolak rayuan Wan Ji terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana menghasut terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lalu.


Mahkamah turut menambah hukuman penjara terhadap Wan Ji, dari sembilan bulan kepada setahun setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah.


Keputusan itu mengundang kritikan daripada aktivis undang-undang Syahredzan Johan yang mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara merayu untuk menambah hukuman terhadap Wan Ji.


Pada 2014, Wan Ji disabitkan bersalah di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan berhubung kiriman di Facebook berhubung Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, namun hukumannya ditangguhkan sementara menunggu rayuan.


Peguam Wan Ji memohon penangguhan hukuman dan memaklumkan akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.


Norlida Ishak Shop