Expired : 18.06.18

Anwar kena biar Tun M kekal sebagai Perdana Menteri


BANGI, 25 Rabiulakhir 1440H, Rabu – Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran membiarkan sahaja Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri sehingga selesai tugasnya, jika benar Presiden PKR itu berjuang atas dasar reformasi.


Saranan itu dibuat Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas isu jawatan Perdana Menteri yang menjadi pertikaian di kalangan parti gabungan Pakatan Harapan (PH), sejak kebelakangan ini.


Pada Perhimpunan Agung Tahunan keli ke-2 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) minggu lalu, Dr Mahathir dicadangkan terus menjadi Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), iaitu bagi tempoh lima tahun penggal Dewan Rakyat.


Laporan awal menyatakan pemimpin PH ketika membentuk gabungan parti itu dan dalam perjanjian kerjasama mereka untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) telah menetapkan Dr Mahathir hanya akan menjadi Perdana Menteri selama dua tahun.


Beliau kemudian akan menyerahkan jawatan itu kepada Anwar.


Bagaimanapun, Ketua Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah semalam dipetik sebagai berkata, tempoh Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.


Sebaliknya PH cuma membuat keputusan bahawa Anwar akan diangkat ke jawatan itu selepas Dr Mahathir.


“PH cuma mempunyai keputusan dan perjanjian bahawa selepas Tun M (Dr Mahathir), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah perdana menteri seterusnya. Kita tidak bincangkan tempoh kerana mereka saling memahami.


“Mereka (Dr Mahathir dan Anwar) juga adalah tokoh besar yang seharusnya dapat menentukan waktu terbaik untuk peralihan kuasa dan sebagainya,” kata Saifuddin.


Tetapi, Dr Mahathir ketika mengulas isu itu selepas perhimpunan agung Bersatu beberapa hari lalu, menegaskan bahawa beliau akan berpegang kepada janji dan tidak berhasrat menduduki kerusi nombor satu negara itu melebihi dua tahun disebabkan faktor usia, walaupun rakyat meminta beliau berbuat demikian..


Mengulas lanjut, Annuar berkata, kestabilan politik adalah asas penting kepada usaha reformasi sebenar.


“Sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim benar komited pada usaha reformasi, izinkan sahaja Perdana Menteri meneruskan usahanya sehingga tamat,” kata Annuar menerusi hantaran Twitter miliknya, hari ini.



The post Anwar kena biar Tun M kekal sebagai Perdana Menteri appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop