Expired : 18.06.18

Anwar: Kerajaan ‘dengar’ keluhan rakyat

Rakyat tidak perlu mengundi pembangkang pada Pililhan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hanya untuk memastikan kerajaan “mendengar” rintihan mereka, kata Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim.


Mengakui PRK ini sengit, Anwar yakin dengan kewibawaan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini dan mengarahkan jentera KEADILAN untuk memberi sokongan penuh kepada Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai itu.


“Ketika mendengar taklimat pimpinan KEADILAN mengenai proses undian di Tanjung Piai, mereka beri maklumat tentang keluhan yang banyak daripada rakyat mengenai beberapa isu.


“Jadi kita dengar dan saya merasakan tak perlu kita undi pembangkang kerana kita (kerajaan) dengar keluhan mereka – petani, nelayan, pekebun kecil, pengangguran daripada kalangan pelajar, kemudahan kesihatan dan pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas sesi sembang santai di Pejabat KEADILAN Cabang Tanjung Piai semalam.


Anggota Parlimen Port Dickson turut memberi contoh bagaimana kerajaan “mendengar” dengan kehadiran beberapa pemimpin PH termasuk Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal serta beberapa menteri, yang hadir pada majlis bersama Karmaine.


Sementara itu, Anwar menerusi akan Twitter beliau menzahirkan keyakinannya dengan kemenangan Harapan di Tanjung Piai selepas berceramah malam tadi.


“Di ceramah terakhir semalam di Tanjung Piai. Alhamdulillah, dukungan yang kuat dizahirkan warga Tanjung Piai kepada Pakatan Harapan.


“Semoga kita dapat kekalkan kemenangan ini dengan majoriti yang lebih besar, insha-Allah,” kata Anwar.


Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52, 986 pengundi berdaftar, dengan 56.88 peratus atau 30,141 adalah Melayu, 41.52 peratus Cina, satu peratus India dan 0.09 peratus bumiputera Sabah.


PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Pakatan Harapan pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.


Norlida Ishak Shop