Expired : 18.06.18

Anwar sokong pindaan Perlembagaan perkasa Sabah, Sarawak

Presiden KEADILAN Anwar Ibrahim menyokong penuh Rang Undang-undang (Pindaan) Perlembagaan 2019 di peringkat dasar yang dibentangkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.


Anggota Parlimen Port Dickson itu turut membidas pembangkang yang mempertikaikan keberkesanan pindaan untuk mengangkat Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf Semenanjung Malaysia dalam kerajaan Persekutuan Malaysia itu.


“Saya tidak faham kenapa langkah bermakna ini dipertikai. Ada yang menyatakan ini langkah yang mungkin tidak berkesan tapi sekurang-kurangnya di bawah Pakatan Harapan, perdana menteri telah mengorak langkah bermakna.


“Setengah abad berlalu dan Barisan Nasional tak mengorak langkah pun. Ini soal pindaan asas. Saya tak pertikai cadangan membawa kepada jawatankuasa pilihan kalau ada peruntukan-peruntukan lain,” kata Anwar dalam perbahasan pindaan itu di Dewan Rakyat.


Dalam ucapannya hari ini, Dr Mahathir berkata kerajaan akan meminda RUU itu di peringkat jawatankuasa untuk menyelaraskannya dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).


Pindaan terbaru itu akan mengembalikan perkataan “negeri-negeri Malaya” dan “negeri Borneo” dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, kata Dr Mahathir.


Dr Mahathir juga berkata rejim sebelum ini gagal mengemukakan pindaan yang diperlukan untuk Perlembagaan Persekutuan di Parlimen.


Sebelum ini, pembangkang yang terdiri daripada BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS) menggesa agar RUU itu dirujuk kepada jawatankuasa terpilih Parlimen untuk kajian terperinci.


Norlida Ishak Shop