Expired : 18.06.18

Anwar: Tewas PRK Rantau, PH hormati keputusan pengundi

PH menghormati keputusan pengundi DUN Rantau yang memilih Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai wakil rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. — Foto oleh Yusof Mat Isa
PH menghormati keputusan pengundi DUN Rantau yang memilih Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai wakil rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim. — Foto oleh Yusof Mat Isa

SEREMBAN, 13 April — Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan yang diambil pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang memilih Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Mohamad, Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan malam ini berkata kekalahan itu merupakan peringatan kepada pimpinan PH agar memberi perhatian sewajarnya terhadap kebimbangan rakyat berkaitan isu ekonomi dan kos sara hidup.


“Saya melahirkan keyakinan PH akan kembali bangkit mendapat sokongan rakyat selepas ini. Terima kasih juga kepada jentera Keadilan (PKR) serta parti komponen PH yang lain kerana berjaya menunjukkan kematangan dan contoh baik ketika sesi kempen,” kata Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Port Dickson itu.


Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kekalahan dalam PRK DUN Rantau tidak akan menjejas sebarang perancangannya bagi negeri ini.


Katanya, walaupun kalah, PH masih mendahului komposisi DUN Negeri Sembilan dengan 20 kerusi berbanding pembangkang 16 kerusi.


“Kita tidak akan berhenti di sini kerana ia tidak melibatkan perkara yang menjejaskan kredibiliti kerajaan. Tidak kira berlaku atau tidak berlaku kekalahan ini saya akan bekerja 24 jam untuk memastikan keselesaan rakyat,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH, di sini.


Dalam pada itu, beliau berkata siasatan akan dijalankan jika ada laporan mengenai dakwaan unsur sabotaj yang menyebabkan kekalahan PH pada PRK berkenaan.


Pada PRK itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mempertahankan kerusi DUN Rantau buat penggal keempat selepas menewaskan tiga pencabarnya termasuk Dr S. Streram yang mewakili PH dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.


Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memperoleh majoriti 4,510 undi, selepas mendapat 10,397 undi manakala Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi. — Bernama


Norlida Ishak Shop