Expired : 18.06.18

Anwar tolak jemputan hadir Himpunan 812 Sabtu ini


KUALA LUMPUR, 28 Rabiulawal 1440H, Khamis – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menolak jemputan menghadiri himpunan aman meraikan kejayaan rakyat membantah ratifikasi ICERD (Himpunan 812) di Dataran Merdeka, Sabtu ini.


Difahamkan, sebelum ini, penganjur turut menjemput presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, serta beberapa pemimpin parti gabungan Pakatan Harapan (PH), yang kerap menyertai demonstrasi, termasuk Bersih, ketika belum menjadi kerajaan.


Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Anwar berkata, pendiriannya dalam isu ICERD adalah jelas iaitu menyokong keputusan Kabinet yang tidak akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum.


“Saya mengikuti laporan dalam media dan membawa usul di Parlimen. Pendirian saya akan saya bawa di Parlimen dan adalah jelas iaitu menyokong keputusan Kabinet.


“Ini dilakukan di Parlimen dan ia adalah mencukupi. Oleh itu, saya tidak akan hadir di himpunan itu,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.


Anwar berkata, mengikut jadual, pemimpin lain yang akan bercakap mengenai resolusi ICERD di Parlimen ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.


“Ianya sudah cukup kuat, mewakili Ahli Parlimen. Rancangan kami ialah menyokong kenyataan Perdana Menteri dan Kabinet dan saya rasa ini sudah cukup untuk mengekang kekeliruan mengenai perkara itu.


“Saya akan membangkitkan dua perkara di Parlimen iaitu memberi jaminan keadilan kepada semua dan menentang diskriminasi kaum, agama dan gender.


“Oleh kerana Kabinet telah memutuskan untuk tidak meratifikasinya, saya rasa Parlimen perlu mengesahkannya dan memfokuskan kepada isu ekonomi,” katanya.


The post Anwar tolak jemputan hadir Himpunan 812 Sabtu ini appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop