Expired : 18.06.18

Apa motif Malaysiakini lapor berita 2 bulan lalu?

BANGI, 28 Rejab 1441H, Isnin – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempersoal tindakan portal liberal, Malaysiakini menyiarkan semula laporan berita dua bulan lalu, berkaitan saman yang difailkan untuk mencabar kewujudan sekolah vernakular. 


Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, usaha itu telah pun dibuat pada Januari lalu dan bukannya hari ini ketika negara sedang kritikal dilanda penularan pandemik COVID-19.


Katanya, tindakan Malaysiakini umpama satu cubaan untuk memberikan imej tidak baik kepada ISMA.


“Apa motif Malaysiakini lapor cerita 2 bulan lepas? Kita tidak pasti mengapa Malaysiakini baru melaporkan berita ini hari ini. 


“Adakah mereka mahu memberi imej yang tidak baik kepada ISMA, seolah-olah kami sedang turun naik mahkamah tatkala negara berdepan dengan krisis?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.


Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela) menegaskan, pihaknya telah menyertai bersama beberapa NGO lain untuk mencabar kedudukan sekolah vernakular ini sejak beberapa bulan yang lalu. 


“Ya, inilah usaha kami ke arah perpaduan dan keharmonian negara, iaitu sistem sekolah satu aliran. 


“Apa-apa pun, terima kasih jugalah kerana mengingatkan rakyat yang sekolah vernakular sedang dicabar di mahkamah,” katanya.


ISMA yang lantang mempertahankan Perlembagaan, telah memfailkan writ saman terhadap Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia berhubung kesahan sekolah vernakular pada Januari lalu.


ISMA sebagai NGO yang menitikberatkan perpaduan dalam pembangunan masyarakat telah mengarahkan barisan peguam diketuai Datuk M Reza Hassan, N Logendran dan Mohamad Farhan Kamarudin bagi mendapatkan keputusan berkait undang-undang di mahkamah.


Namun, Malaysiakini bertindak aneh apabila menyiarkan laporan berita tersebut pada hari ini (23 Mac) sedangkan saman itu sudah difailkan beberapa bulan yang lalu.


Berikut adalah petikan laporan berita daripada Malaysiakini:


“Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyertai beberapa kumpulan lain memfailkan saman bagi mencabar kewujudan sekolah vernakular dari sudut perlembagaan di Malaysia.


“Melalui firma guaman Tetuan Raja Riza & Associates, Isma memfailkan writ saman di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Januari lalu.


“Menurut salinan dokumen mahkamah yang dilihat Malaysiakini pagi ini, pengerusi ISMA, Aminuddin Yahaya yang bertindak bagi pihak NGO tersebut adalah plaintif manakala menteri pendidikan dan kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua,” lapor Malaysiakini.


The post Apa motif Malaysiakini lapor berita 2 bulan lalu? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.