Expired : 18.06.18

Apa signifikan isu ‘bin Abdullah’?

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan pada 13 Februari 2020 tempoh hari amat signifikan dari tiga perspektif: Pertama, dari sudut tafsiran undang-undang terutamanya Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957.


Kedua, dari sudut penggunaan ‘bin Abdullah’ menurut Islam. Ketiga, dari sudut kedudukan undang-undang Islam dalam sistem perundangan negara.


Kenapa isu ‘bin Abdullah’ ini timbul? Apakah sebenarnya yang berlaku?


Isu ini menjadi topik perbincangan kini selepas keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan.


Sebelum ini, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa anak pasangan beragama Islam yang dilahirkan secara luar nikah adalah layak di sisi undang-undang untuk berbinkan nama bapanya.


Keputusan dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya.


Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi, yang menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya.


Apakah yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini?


Mahkamah Rayuan berpendirian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.


Rujukan kepada ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia berkaitan hal ini dianggap tidak boleh berkuatkuasa kerana bertentangan dengan Seksyen 13A(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957.


Apakah ketetapan Muzakarah yang dimaksudkan itu?


Dalam muzakarah fatwa kali ke 57 ditetapkan bahawa:


a. Anak Tak Sah Taraf ialah: Pertama, anak yang dilahirkan di luar nikah sama ada akibat zina atau rogol dan dia bukan daripada persetubuhan syubhah atau bukan daripada anak perhambaan.


Dan kedua, anak dilahirkan kurang dari 6 bulan 2 lahzah (saat) mengikut Takwim Qamariah daripada tarikh tamkin (setubuh).


Muzakarah fatwa juga memutuskan bahawa anak tak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang menyebabkan kelahirannya atau kepada sesiapa yang mengaku menjadi bapa kepada anak tersebut.


Oleh itu, mereka tidak boleh pusaka mempusakai, tidak menjadi mahram dan tidak boleh menjadi wali.


Apa pula keputusan Mahkamah Persekutuan?


Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-3, memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf, tidak boleh dibin atau dibinti dengan nama bapanya.


Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemuka Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.


Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa, sebaliknya perlu ‘dibin atau binti Abdullah.’


Hakim Rohana yang menyampaikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu berkata, Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.


Beliau berkata, Seksyen 13A tidak diguna pakai dalam sistem nama orang Melayu dan tidak membolehkan anak-anak dibin atau dibinti dengan nama peribadi orang yang diketahui ialah bapa kepada anak itu (responden pertama dalam kes rayuan ini).


Hakim Rohana, bagaimanapun mengeluarkan perintah penting bagi Ketua Pengarah JPN untuk mengeluarkan ‘bin Abdullah’ daripada sijil kelahiran kanak-kanak itu.


Mahkamah berpendapat bahawa nama responden pertama (kanak-kanak) tanpa ‘bin Abdullah’ perlu kekal.


Hakim Rohana berkata, Ketua Pengarah JPN tidak boleh menggunakan fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap kanak-kanak itu kerana tiada fatwa tentang bagaimana memberi nama pada kanak-kanak tidak sah taraf yang diwartakan di Johor.


Pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau sesuatu fatwa itu akan menjadi undang-undang di negeri Johor dan mengikat di sisi perundangan jika ia diwartakan dalam Warta Negeri selaras dengan Seksyen 49 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.


Dalam penghakimannya, Hakim Rohana juga berkata, Ketua Pengarah JPN bertindak secara tidak munasabah dalam menggunakan fatwa tertentu ke atas kanak-kanak itu serta ibu bapanya, dan dengan berbuat demikian, Ketua Pengarah JPN telah merampas kuasa Sultan Johor.


Beliau berkata, Ketua Pengarah JPN, dalam melaksanakan pendaftaran kelahiran anak-anak orang Islam, boleh merujuk dan bergantung pada Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 mengenai pewarisan harta pusaka.


Katanya, tindakan Ketua Pengarah JPN tidak membenarkan permohonan bapa agar kanak-kanak itu dibin dengan namanya betul dari segi undang-undang.


Tiga lagi hakim iaitu Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Tan Sri Idrus Harun bersetuju dengan Hakim Rohana, manakala Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nallini Pathmanathan menentang.


Adakah implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan kepada undang-undang Islam?


Secara keseluruhannya keputusan Mahkamah Persekutuan adalah baik dari sudut memastikan beberapa prinsip Islam berkaitan larangan penisbahan anak luar nikah kepada bapa biologi dapat dikuatkuasakan.


Apabila Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Islam, bermakna orang Islam dihalang daripada menamakan anak luar nikah dengan bapa biologi.


Pendirian mahkamah mengaitkannya dengan undang-undang berkaitan mengenai pewarisan harta pusakan di bawah Seksyen 111 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003 juga amat dialu-alukan.


Mahkamah juga mengiktiraf kedudukan fatwa sebagai salah satu sumber dan rujukan undang-undang sivil jika ia diwartakan secara sah.


Mahkamah menyebut secara jelas bahawa, pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan atau sesuatu fatwa itu akan menjadi undang-undang dan mengikat di sisi perundangan jika ia diwartakan.


Apakah cadangan dan maklumbalas dari kes ini?


Kita mencadangkan agar pihak kerajaan segera meminda Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) bagi memasukkan peruntukan khusus berkaitan penamaan anak orang Islam sesuai dengan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia berkaitan hal berkenaan.


Peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 13A yang ada hari ini hanya sesuai untuk orang bukan Islam.


Oleh yang demikian, pindaan ini amat penting dan perlu dilaksanakan secepat mungkin bagi mengelakkan pertikaian dalam perkara yang spesifik seperti ini. Isu ini sebenarnya tidak terlalu kompleks jika ia diselesaikan melalui pindaan akta berkenaan.


DR MUHAMMAD FATHI BIN YUSOF

Pusat Polisi Perdana,

Fakulti Teknologi dan Informatik Razak

Universiti Teknologi Malaysia


Penafian: Kenyataan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.



The post Apa signifikan isu ‘bin Abdullah’? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.