Expired : 18.06.18

Arus Kemenangan BN Di Cameron Terus Bertiup Di Kimanis

KIMANIS, 18 Jan – Arus kemenangan Barisan Nasional (BN) yang bermula daripada Cameron Highlands, Pahang terus menjalar ke Sabah apabila parti itu berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kimanis setelah calonnya, Datuk Mohamad Alamin menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen kawasan berkenaan hari ini.


Mohamad Alamin atau lebih dikenali Datuk Moh mengalahkan calon daripada Parti Warisan, Datuk Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi.


Datuk Mohamad Alamin memperolehi 12,706 undi manakala Datuk Karim Bujang memperolehi 10,677 undi.


Keputusan berkenaan diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kimanis, Jupri Etok Dewan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun Banir, Beaufort.


Parlimen Kimanis mempunyai 29,664 pengundi biasa yang layak mengundi dan berdasarkan jumlah itu lapan daripada sembilan orang sudah mengundi awal pada Selasa lepas, manakala 35 adalah pengundi pos dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) yang berada di luar negara.

Seramai 653 petugas pilihan raya dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengendalikan proses pengundian itu hari ini.


PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.


Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos tahun lepas memutuskan bahawa kemenangan Anifah di kerusi itu sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya. – UMNO Online