Expired : 18.06.18

Asri: Elak jadi bahan kempen, jangan beri orang politik agih zakat

Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mahu meminimum penyalahgunaan agama atas tujuan kempen politik kepartian. — Foto oleh Miera Zulyana
Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mahu meminimum penyalahgunaan agama atas tujuan kempen politik kepartian. — Foto oleh Miera Zulyana

KUALA LUMPUR, 3 Jun — Datuk Mohd Asri Zainul Abidin memohon tugas penyerahan zakat tidak diberi kepada orang politik bagi mengelakkan urusan tersebut dijadikan bahan kempen.


“Isunya, jika ruang itu dibuka, maka dalam konteks negara demokrasi pilihan raya, ia akan dijadikan ruang untuk berkempen politik kepartian menggunakan agama atau lebih khususnya zakat,” tulis mufti Perlis di Facebook hari ini.


“Umat Islam hendaklah bekerja meminimumkan penyalahgunaan agama bagi tujuan kempen politik kepartian yang mempunyai agenda yang bersifat kelompok dan peribadi. Ini kerana penyalahgunaan agama untuk kepentingan politik kepartian merupakan musibah besar kepada Umat ini.


Menyifatkan isu penyerahan zakat boleh diwakilkan kepada orang politik atau sebaliknya, beliau menghargai arahan raja Perlis yang meminta orang politik tidak dibenar menyerahkan zakat Majlis Agama Perlis (Maips) kepada golongan asnaf.


Minggu lalu, wakil rakyat DAP Chris Lee Chun Kit mencetuskan kontroversi apabila mengedar bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada masyarakat Muslim di Pulau Pinang.


Namun, mufti negeri Wan Salam Mohd Noor mempertahankan wakil rakyat itu dengan menyebut pengagihan zakat kepada golongan asnaf dengan mewakilkannya kepada orang bukan Islam, hukumnya harus.