Expired : 18.06.18

Awek Korea 'gila' laksa Kelate

LAKSA Kelantan kuah putih menjadi juadah paling ‘digilai’ wanita Korea, Lee Seul ketika pulang ke Kota Bharu, untuk menyambut Aidilfitri bersama suami.


Jadi, tidak hairanlah dia yang lebih mesra disapa Anna, 30, tidak pernah jemu untuk menikmatinya setiap hari, disamping juadah tradisional lain.


Lee Seul yang sudah dua tahun menjadi suri hati pemuda tempatan, Muhamad Khalid Ismail, 31, berkata, dia amat menggemari laksa Kelantan kuih putih kerana rasanya yang sedap dan berbeza dengan juadah lain.


“Sejak hari raya pertama lagi pelbagai juadah sudah dinikmati antaranya lemang, ketupat, sate, roti jala, mi sup, laksa dan aneka nasi.


“Tetapi laksa Kelantan memang tidak boleh tinggal, kalau boleh saya nak makan setiap hari,” katanya ketika ditemui di rumah kenalan di Wakaf Bharu, hari ini.


Lee Seul berkata, sebelum ini dia belum tahu cara makan sesuatu makanan dihidangkan, tetapi Aidilfitri kali ini lebih istimewa kerana sudah ada makanan yang menjadi kegemarannya.


“Ada sesetengahnya sudah menjadi makanan kegemaran dan wajib jika raya.


“Begitu juga dengan amalan berkunjung yang mana saya semakin kenal sanak saudara suami dan banyak menghadiri jemputan hari raya malah saya sudah tidak kekok lagi,” katanya yang anggun berbaju kurung moden.


Pasangan itu berkahwin di Korea Selatan pada 9 April 2017 dan kisah perkahwinan Muhamad Khalid sebelum ini tular di laman sosial selain kebolehan jejaka Kelantan itu yang fasih berbahasa Korea.


Mengenakan busana warna hitam putih dan bertudung bawal, penampilan wanita itu sangat menawan walaupun ringkas.


Anna berkata, dia hanya menyediakan dua pasang baju raya kerana banyak lagi baju kurung lain yang masih elok untuk dipakai.


Sementara itu, Muhammad Khalid berkata, dia mengambil cuti hampir sebulan untuk membawa isterinya menyambut Aidilfitri di kampung halaman bagi merasai pengalaman dan pengertian mengenai Aidilfitri.


Dia yang kini sedang mengusahakan syarikat agensi pelancongan di Seoul, Korea berkata, isterinya masih dalam tempoh mendalami Islam dan mempelajari budaya Melayu.


“Saya sendiri tidak memaksanya membuat sesuatu perkara dan membiarkan ia dilakukan atas kerelaannya sendiri, namun akan memberi tunjuk ajar apa yang betul dan salah.


“Contohnya, kali ini saya ambil cuti lebih lama bagi memberinya peluang dia bergaul dengan sanak saudara, meneliti cara hidup dan budaya kita kerana sebaik kami balik ke Korea nanti, dia sudah tidak dapat mengalami suasana ini,” katanya.


Muhammad Khalid berkata, dia akan kembali ke Korea 28 Jun dan sebelum itu akan ke Kuala Terengganu, Pahang dan seterusnya ke Kuala Lumpur bagi bertemu rakan serta sanak saudara.


Norlida Ishak Shop