Expired : 18.06.18

Azza Elite geram foto diguna penyamar, beri tempoh 24 jam

Azza Elite mendakwa ada pihak menyamar menjadi dirinya serta menyalahgunakan gambar para pelanggannya menerusi aplikasi 'Michat'. — Foto ihsan Instagram/azzazawar
Azza Elite mendakwa ada pihak menyamar menjadi dirinya serta menyalahgunakan gambar para pelanggannya menerusi aplikasi 'Michat'. — Foto ihsan Instagram/azzazawar

KUALA LUMPUR, 31 Mei — Selebriti Nor Azzarima Zawari meluahkan rasa tidak puas hati melihat ada pihak menyamar menjadi dirinya serta menyalahgunakan gambar para pelanggannya menerusi aplikasi ‘Michat’.

Memaklumkan perkara itu di Instagram, Azza memberi tempoh masa 24 jam kepada pihak berkenaan agar menghentikan perbuatan tersebut serta memadam gambar-gambar yang telah disalahgunakan itu.




“Saya bagi tempoh 24 jam! Pada orang yang suka menyamar jadi orang lain ni kau tak ada kerja kah?” tulis Azza di Instagram.





Dihubungi ProjekMM, ahli kumpulan Elite itu menyatakan beliau mengetahui perkara tersebut selepas dimaklumkan oleh para pengikut setianya.



Beliau kesal kerana akaun palsu yang diletakkan namanya itu dan turut meletakkan gambar pelakon Salina Saibi dan adiknya, Aerin Saibi yang merupakan pelanggan dan model produk tudung Bidadari miliknya.



“Itu bukan caranya untuk gunakan gambar dan nama orang untuk kerja-kerja tak senonoh. Lakukanlah perkara yang baik sementara masih hidup ni,” kata Azza.


Tambahnya, beliau langsung tidak tahu-menahu tentang aplikasi perbualan ‘Michat’ itu memandangkan tidak pernah menggunakannya sebelum ini.


Masih memberi ruang buat si pelaku memperbetulkan keterlanjuran itu, Azza berkata tempoh 24 jam diberikan sebelum beliau mengemukakan laporan polis


“Pada yang buat akaun ini harus berjaga-jaga. Kalau masih tak padam dan tukar nama tu saya akan laporkan kepada pihak polis,” kata bekas pengacara Go Shop.