Expired : 18.06.18

‘Bagi PH masa 6 bulan lagi’


KUALA TERENGGANU, 8 Syaaban 1440H, Ahad – Pakatan Harapan (PH) memerlukan masa enam bulan lagi untuk memulihkan negara selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan Mei tahun lalu.

Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin berkata, dalam tempoh ini PH perlu berdepan dengan rakyat dan memberi penerangan yang tepat, terutama dalam hal ekonomi agar mereka faham situasi semasa.

“Bukannya susah hendak terangkan kepada rakyat. Kalau tak boleh buat cakap tak boleh buat.

“Bagi tahu kepada rakyat apa sebab tak boleh buat (sesuatu perkara), mesti ada sebab. Takkan kalau boleh buat tapi kerajaan tak nak buat, itu yang penting untuk dijelaskan kepada rakyat,” katanya selepas Program Bicara Darul Iman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan semalam juga adalah cabaran yang harus ditangani memandangkan rakyat tidak mampu bersabar dengan situasi semasa.

“Saya rasa kerajaan memerlukan tempoh masa enam bulan lagi untuk membetulkan keadaan, bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan ekonomi, tetapi pelbagai isu lain. Ini yang rakyat perlu faham,” katanya.

Daim berkata, walaupun memahami keinginan rakyat yang mahu melihat perubahan, namun kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk meneliti dan menimbang sebaik mungkin sesuatu isu, termasuk kedudukan ekonomi dan kewangan negara.

“Kerajaan banyak masalah, perlu fikir tentang keselamatan, hubungan luar dan pertahanan. Esok (kemudian nanti) kalau jadi apa-apa, rakyat marah kerajaan juga.

“Nak turunkan harga barang tu memang boleh, kita buat kajian macam mana nak turunkan harga. Insyaallah tak lama lagi akan turun, saya ingat dalam masa enam bulan lagi banyak perkara akan jadi lebih stabil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut mengaitkan kekalahan PH pada PRK Rantau semalam, bermungkinan sebahagian manifestasi kemarahan rakyat terhadap kerajaan disebabkan kenaikan harga barang yang puncanya tidak diketahui oleh rakyat.

Ketika ditanya mengenai persepsi rakyat terhadap prestasi kerajaan sama ada akan bertambah baik pada masa akan datang.

Katanya, ia akan berlaku sebaik sahaja kerajaan dapat menyelesaikan permasalahan rakyat seperti, kenaikan kos sara hidup dan melaksanakan janji-janji manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. – Bernama


The post ‘Bagi PH masa 6 bulan lagi’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop