Expired : 18.06.18

Bajet kena fokus bangunkan ekonomi, bukan jadi alat politik

BANGI, 12 Safar 1441H, Jumaat – Rakyat menjadi mangsa keadaan terhadap pertelingkahan politik daripada pelbagai pihak, kata Penganalisis IRIS Institute, Asyraf Farique.


Beliau berkata, pihaknya tidak melihat dasar pembangunan ekonomi secara objektif, tetapi hanya melihat dasar-dasar ekonomi yang digubal hanya berlandaskan untuk memenuhi kehendak politik sesetengah pihak.


“Oleh itu, kita lihat rakyat sekarang ini masih teraba-raba, tercari-cari siapakah yang dapat menolong serta dapat melepaskan mereka daripada cengkaman ekonomi.


“Bajet perlu dilihat sebagai instrumen untuk membangunkan ekonomi negara bukan sebagai satu kaedah politik,” katanya ketika temubual Analisis Belanjawan 2020 (Suara Rakyat Suara Bajet), di sini, hari ini.


Beliau berkata, walaupun pada hakikatnya sesuatu negara mencapai kemajuan dari segi fizikal, infrastruktur ataupun material, tetapi jurang kekayaan antara golongan kaya dan miskin semakin melebar.


“Kita boleh lihat, walaupun sesuatu negara itu mencapai status berpendapatan tinggi dan rakyat juga mendapt hasil manfaat yang jelas, di sini kita boleh tanya kembali apakah motif pembangunan seperti yang digariskan.


“Dan mengapa impak pembangunan ekonomi tidak dapat dirasai oleh rakyat marhaen secara keseluruhannya,” soalnya.


Justeru, beliau menyeru kerajaan perlu memikirkan kembali perkara berkenaan sebelum mengimplikasi Belanjawan 2020 yang bakal dibentangkan sebentar nanti.


“Ini kerana, tanpa satu matlamat yang jelas, kita tidak tahu dimana para ahli politik ini akan membawa hala tuju rakyat,” katanya.


Menteri Kewangan Lim Guan Eng dijadual membentangkan Belanjawan 2020 yang sangat dinanti-nantikan di Dewan Rakyat pada 4 petang hari ini. Ini adalah kali kedua beliau membentangkan belanjawan tahunan negara itu.


Ramai rakyat Malaysia berkongsi harapan dan keinginan mereka untuk Belanjawan 2020 termasuk hasrat untuk melihat pelaksanaan inisiatif sosioekonomi yang memberi kesan secara langsung terhadap transformasi digital yang berterusan di bawah Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).


The post Bajet kena fokus bangunkan ekonomi, bukan jadi alat politik appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop