Expired : 18.06.18

Bakat cilik hasil tanjak

BUKAN hanya gemar memakai tanjak malah Muhammad Haziem Hisham yang berusia sembilan tahun berbakat menghasilkan aksesori warisan tradisional itu.


Kebolehan Muhammad Haziem mendapat perhatian warganet selepas videonya menyempurnakan ikatan tanjak tular di laman sosial.


Video berkenaan dimuat naik sepupunya, Muhammad Khairi Khairul Anuar, 23, dan meraih 157,000 tontonan sehingga kini dengan rata-rata warganet memuji kebolehan Muhammad Haziem yang mahir menghasilkan tanjak pada usia muda.


Muhammad Haziem yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Cochrane berkata, dia minat menghasilkan tanjak sejak melihat ada individu memakainya ketika menghadiri majlis perkahwinan.


Katanya, sejak itu dia cuba mempelajari teknik ikatan yang betul dan kini mahir menghasilkan dua jenis tanjak yang dinamakan ‘NakhodaTerung’ dan ‘Dendam Tak Sudah’.


“Saya belajar sendiri di Youtube dan sekarang boleh menyiapkan ikatan tanjak dalam tempoh tidak sampai dua minit.


“Ada rakan tidak pernah tengok, tanya apa itu tanjak dan ada juga yang mahu belajar daripada saya cara menghasilkannya.


“Saya tidak malu kerana memang suka pakai tanjak, kadang-kadang dengan baju Melayu atau baju T,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam, Kuala Lumpur hari ini.


Muhammad Haziem menunjukkan cara membuat lipatan tanjak. FOTO Rosela Ismail



Sementara itu, ibunya, Rosida Ishak, 49, berkata, dia dan suami Hisham Ghazali, 51, tidak pernah mengajar teknik ikatan tanjak sebaliknya Muhammad Haziem mempelajarinya sendiri dengan menonton video tutorial di Youtube.


“Dia minat terhadap tanjak selepas menghadiri majlis kenduri kahwin serta melihat sekumpulan penunggang motosikal memakainya.


“Minatnya bertambah selepas menonton filem Upin Ipin : Keris Siamang Tunggal dan sejak itu, dia sering bertanya mengenai tanjak kerana mengatakan ia unik.


“Mulanya dia cuba membuat ikatan tanjak dengan kertas jenis A4 saja dan serius dengan hobinya itu selepas terjumpa kain samping ayahnya.


“Setiap malam dia menonton Youtube seterusnya mempelajari sendiri cara ikatan tanjak dan kini, Haziem (Muhammad Haziem) gemar memakainya ke mana saja termasuk ketika pulang ke kampung, pergi mengaji, solat, berjalan atau bermain,” katanya.


Antara tanjak yang dihasilkan. FOTO Rosela Ismail



Dalam pada itu Hisham bercadang mengasah kemahiran anaknya itu dengan menghantarnya menyertai kursus kemahiran.


“Tak sangka minat dia sampai ke tahap ini dan terkejut juga selepas dapat tahu kisahnya tular di laman sosial.


“Melihat kesungguhannya, saya dan isteri bercadang menghantarnya ke kelas kemahiran supaya dia mendapat sijil.


“Sekurang-kurangnya, dia boleh berkongsi kemahiran itu dengan orang lain dan buat masa ini, ada juga rakannya datang ke rumah untuk belajar cara ikatan tanjak,” katanya.


Norlida Ishak Shop