Expired : 18.06.18

Banjir: Enggan pindah jika tanpa kambing

BENCANA banjir yang melanda Terengganu bukan sahaja mengisahkan kisah duka penduduk yang terpaksa berpindah, tetapi turut diwarnai keletah mangsa banjir yang mencuri perhatian.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menerusi laman sosial Facebooknya hari ini berkongsi cerita mengenai pengalaman memindahkan mangsa banjir di kawasannya yang enggan ke PPS sekiranya kambing ternakan tidak dipindahkan.


“Kambing pun makhluk ALLAH SWT. Ambo (saya) bimbang akan turut dipertanggungjawabkan nanti di hadapan ALLAH.


“Kalau tak selamatkan kambing, tuan dia tak nak pindah,” tulisnya.


Perkongsian itu mendapat pelbagai reaksi daripada pengikut laman sosial dan kebanyakannya memuji usaha murni yang dilakukan ADUN berkenaan.


Salah seorang pengikutnya yang menggunakan nama Abe Rock berkata, dia tidak pernah melihat usaha gigih sebegitu dalam menjaga kebajikan masyarakat yang ditimpa bencana.


“Saya tak pernah lihat YB (yang berhormat) yang begitu prihatin. Sama-sama redah banjir bersama masyarakat. Semoga ALLAH SWT menjaga YB dan keluarga dan dapat menjalankan tugas dengan penuh semangat.


“Masyarakat diutamakan, jangan lupa jaga kesihatan ya YB. Yang terbaik dari ALLAH. Kita yang melaksanakan,” tulisnya.


Berdasarkan maklumat semasa situasi banjir yang dikemaskini menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sehingga jam 4 petang ini terdapat keseluruhan 1,640 mangsa banjir dengan 1,205 yang dipindahkan di 31 buah PPS di daerah Besut.


Selain itu, terdapat seramai 88 mangsa daripada 32 buah keluarga yang ditempatkan di lapan buah PPS di daerah Setiu.


Daerah Hulu Terengganu pula merekodkan seramai 85 mangsa daripada 20 buah keluarga di tempatkan di empat buah PPS dan seramai 281 mangsa banjir ditempatkan di tiga buah PPS di Dungun iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Minda, Dewan Orang Ramai Kampung Shukur dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.


The post Banjir: Enggan pindah jika tanpa kambing appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop