Expired : 18.06.18

Bank benar tangguh bayar, Najib harap pemilik bantu penyewa

Datuk Seri Najib Razak memohon pemilik hartanah menurunkan sewa sehingga 90 peratus. — Foto oleh Ahmad Zamzahuri
Datuk Seri Najib Razak memohon pemilik hartanah menurunkan sewa sehingga 90 peratus. — Foto oleh Ahmad Zamzahuri

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Bekas perdana menteri memohon pemilik hartanah menurunkan sewa sehingga 90 peratus susulan penangguhan bayaran oleh bank seluruh negara.

Datuk Seri Najib Razak berkata bank meringankan tanggungan pemilik hartanah maka penyewa wajar dibantu bagi mengurangkan beban akibat wabak Covid-19.


“Saya harap tuan-tuan yang baik hati boleh bertimbang untuk memberi diskaun sewa sehingga 90 peratus mengikut kemampuan tuan-tuan atau pun mengecualikan sewa kepada penyewa pada tempoh krisis Covid-19 ini.


“Jika tuan-tuan tendang keluar penyewa kerana tidak bayar sewa pun, tiada pelanggan baru yang akan ganti sewa pada masa susah ini,” coretnya di Facebook hari ini.


Beliau faham bahawa tiada undang-undang yang boleh digunakan kerajaan untuk menghalang pemilik daripada menuntut sewa bulanan daripada penyewa masing-masing.


Namun, katanya, semua pihak perlu bantu-membantu antara satu sama lain.


“Kita saling bantu-membantu pada masa susah. Kita jaga kita,” katanya.


Hantaran Najib disukai lebih 38,000 warga maya dan mendapat 5,000 perkongsian selepas sejam dimuat naik.


Kebanyakan pengikut Facebook menyokong penuh cadangan beliau di samping ramai yang mengadu kesempitan wang.


Ada di antaranya menyatakan sudah ada penyewa yang mengecualikan sewa bulan April dan ada juga yang memberi diskaun seperti yang dicadangkan Najib.


“Saya bersyukur dapat tuan punya kedai yang bertimbang rasa. Sebaik Perdana Menteri umum dia (pemilik) telefon beritahu saya tak perlu bayar sewa bulan April. Alhamdulillah,” tulis Noor Hasilah Ismail.


“Alhamdulillah. Saya telah memberi diskaun kepada penyewa saya. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,” tulis Haji Ikmal Ike Kamal pula.