v Bantah jawi: Dong Zong makin nampak lebih berkuasa
Expired : 18.06.18

Bantah jawi: Dong Zong makin nampak lebih berkuasa

BANGI, 10 Jamadilawal 1441H, Isnin – Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) semakin ‘berkuasa’ sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara.

Bekas Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Datuk Abdul Raouf Husin berkata, pertubuhan Cina berani membangkitkan pelbagai isu pengajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Sedangkan, bahasa Melayu berasal daripada tulisan jawi, kemudian dirumikan kerana untuk memudahkan pembacaan serta pemahaman rakyat yang bukan Islam.

Tetapi, mereka sanggup berjuang bermati-matian membantah, walaupun sudah diperjelaskan tulisan jawi tidak akan mengislamkan sesiapa.

“Hatta Permaisuri Agong yang menggunakan tulisan jawi di laman Twitter pun mereka boleh persoalkan,” katanya ketika temubual Cakap Serupa Bikin di TV Pertiwi malam ini.

Terdahulu, Dong Zong menyerahkan memorandum penolakan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Sebelum ini, Setiausaha Agung Dong Zong, Ng Chai Heng berkata, wujud rasa takut dalam kalangan ahli pertubuhan berkenaan bahawa pengajaran jawi di sekolah vernakular akan ‘mengislamkan’ murid-murid.

Malah, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dipetik sebagai berkata, pelaksanaan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun Empat di sekolah vernakular hanya boleh dilaksanakan dengan majoriti mudah 51 peratus ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersetuju.

Jelasnya, pengajaran tulisan jawi di satu-satu sekolah akan dijalankan jika 51 peratus atau lebih borang yang diterima daripada ibu bapa menyatakan persetujuan.

Tidak bersetuju dengan perkara itu, Abdul Raouf berkata, kuasa untuk menentukan silibus pendidikan bukanlah terletak di tangan PIBG, sebaliknya diamanahkan kepada menteri dan kerajaan.

Beliau berkata, dalam Perlembagaan 152, urusan rasmi yang dilakukan di negara ini juga menggunakan tulisan jawi.

“Ini bukan sekolah swasta, tetapi ini adalah sekolah kerajaan. Ini rumah kita, duit kita, guru juga kita yang lantik. Kenapa kita bagi kuasa dan hak kita kepada PIBG untuk tentukan silibus?

“Mereka (PIBG) tiada kuasa pun. Inilah yang menunjukkan terlalu berkuasa dan rasisnya Dong Zong. Malah ia diakui oleh Perdana Menteri kita sendiri, ” katanya.

The post Bantah jawi: Dong Zong makin nampak lebih berkuasa appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.