Expired : 18.06.18

Bantulah bayi ini...

“NAK kumpul RM1,000 pun perit, inikan pula jumlah sebesar itu,” itu luah Abu Razik Abu Hasan, 43, mengenai beban yang terpaksa ditanggungnya untuk mencari RM35,000 bagi menampung kos pembedahan bayi lelakinya.


Abu Razik perlu mengumpul dana sebanyak itu bagi memastikan anaknya, Muhammad Adam Firdaus Abu Razik yang berusia 59 hari dapat menjalani pembedahan jantung berlubang dihidapinya.


Menurutnya, anak bongsu daripada tujuh beradik itu disahkan menghidap jantung berlubang ketika masih dalam kandungan.


Katanya, ketika dimaklumkan hal itu, dia dan isteri Rossida Md Kaim, 43, pada mulanya agak terkejut, namun mereka reda meskipun lubang pada jantung anaknya itu kini agak ketara kerana semakin membesar.


“Ketika usia kandungan isteri enam bulan, doktor mengesan terdapat titik pada jantung anak selain otaknya bengkak tidak seperti saiz bayi normal lain.


“Secara fizikal orang lihat dia seperti bayi normal lain, sebaliknya Firdaus bukan sahaja menghidap jantung berlubang, malah disahkan sindrom down,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tedong Merlimau di Jasin, hari ini.


Abu Razik berkata, walaupun diuji sebegitu, anaknya itu mudah diurus dan tidak meragam.


Bagaimanapun, katanya, apa yang membimbangkan mereka adalah kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.


“Difahamkan jumlah pembedahan mungkin menelan kos RM35,000 atau lebih, itu tidak pasti.


“Dalam tempoh enam minggu ini doktor akan meminta kami ke IJN dan memberi tarikh pembedahan serta kos sebenar,” katanya yang bekerja di sebuah kilang di Merlimau.


MUHAMMAD Adam Firdaus ditemani ibunya, Rossida (kanan) dan bapanya, Abu Razik (kiri). FOTO Rasul Azli Samad



Abu Razik berkata, dia kini juga dalam proses untuk ke Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk bertanyakan bantuan kewangan sebagai persediaan mengumpul kos pembedahan anaknya itu.


“Kami bukan orang senang, mahu jual tanah pun tiada, kini hanya tinggal di rumah pusaka jadi persediaan awal perlu dilakukan, jika tidak... mungkin pembedahan anak tidak dapat dilakukan.


“Sebelum ini saya ada memuat naik kisah anak di Facebook ia hanya untuk kenangan tetapi tidak sangka tular dan mendapat perhatian,” katanya.


Norlida Ishak Shop