Expired : 18.06.18

Bawa anak cerebral palsy sertai larian cetus kesedaran awam

Syahidda Asma dan suami Mohd Shahir Kamaruddin bersama anak mereka Auliya dan Muhammad Syafi Hadif, dalam Run for National Unity 2019. ― Foto oleh Firdaus Latif
Syahidda Asma dan suami Mohd Shahir Kamaruddin bersama anak mereka Auliya dan Muhammad Syafi Hadif, dalam Run for National Unity 2019. ― Foto oleh Firdaus Latif

KUALA LUMPUR, 5 Okt ― Larian Run for National Unity di Taman Tasik Perdana pagi tadi disertai ramai peserta daripada pelbagai latar belakang dengan tujuan berbeza-beza.

Tidak terkecuali, sebuah keluarga yang datang dari Tanjung Malim, Perak bersama dua anak, seorang daripadanya menghidap ‘cerebral palsy’.


Mengambil sempana Hari Cerebral Palsy Sedunia esok, Mohd Shahir Kamaruddin, 33, dan isteri Syahidda Asma, 32, turut berlari bersama Muhammad Syafi Hadif sejauh tiga kilometer dalam kategori peserta kurang upaya.


“Larian ini cukup signifikan pada kami kerana esok Hari Cerebral Palsy Sedunia dan kami suka rakyat Malaysia mengetahui lebih tentang kekurangan ini,” kata Syahidda. 


Mencerita keterujaan anak istimewanya menikmati muzik dan pergerakan sewaktu ditolak menggunakan kereta sorong, beliau menyifatkan acara itu setidak-tidaknya sebagai platform mencetuskan kesedaran tentang situasi anak mereka.


Pasangan itu mengakui anak lelaki berusia enam tahun yang tidak boleh bergerak sejak lahir, seronok berlari dengan kereta sorong sebagai aktiviti luar rumah,.


“Ia rawatan teraputik untuk anak saya yang terlantar sakit di katil. Jika saya tak bawa keluar, dia tak akan merasai aktiviti luar,” kata Mohd Shahir pula.


“Saya rasa berpuas hati dan cukup seronok, ia amalan kami setiap minggu bawa anak-anak berlari untuk keseronokan,” katanya lagi.


Norlida Ishak Shop