Expired : 18.06.18

Beasley sedia bantu Jijoe penuhi impian

KETUA jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley berjanji akan membantu Azizulhasni Awang memenuhi impian untuk meraih pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo yang juga mungkin emas pertama dimenangi kontinjen negara di temasya sukan terbesar dunia itu.

Namun Beasley meminta ruang diberikan secukupnya kepada The Pocketrocketman untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada proses persiapan ke Tokyo.


"Saya faham Malaysia begitu teruja untuk melihat atlet mereka memenangi pingat emas pertama di Sukan Olimpik. Bertenang dan biarlah kami melalui proses persiapan terlebih dahulu.


"Jika kami dapat melalui segala proses dengan baik, sudah pasti keputusan diperolehi juga baik. Azizulhasni mempunyai tekanan dan jangkaan tersendiri, jadi kita perlu beri ruang kepadanya. Sudah tentu dia mahu beraksi di Olimpik dan mahu memenanginya," katanya.


Beasley berkata, sejarah sudah membuktikan sekiranya segala proses berjalan dengan baik, maka keputusan diperolehi juga pasti amat memberangsangkan.


"Sebelum ini selama 30 tahun Malaysia tidak mempunyai juara Asia tetapi kini ia sudah dicapai. Kita juga sudah memenangi pingat di Sukan Komanwel, Sukan Asia dan juga juara dunia. "Hanya yang belum diperolehi sekarang adalah pingat emas di Olimpik tetapi kini kami sedang bekerja keras untuk meraihnya. Percayalah kami sedang berusaha sebaik mungkin ketika ini," katanya.