Expired : 18.06.18

Bekas peguam negara mungkin didakwa: Hanipa Maidin


KUALA LUMPUR, 27 Rabiulawal 1440H, Rabu – Bekas peguam negara mungkin akan didakwa dan sekiranya perkara itu berlaku, ia adalah yang pertama kali dalam sejarah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin.


Beliau tidak menolak kemungkinan Tan Sri Mohamed Apandi Ali didakwa, malah kerajaan katanya, amat serius dalam isu itu.


“Kami selalu terfikir bolehkah peguam negara didakwa? Apakah seorang bekas peguam negara juga akan didakwa? Saya tidak tahu berlaku ke tidak tetapi tidak mustahil di bawah kerajaan sekarang.


“Mungkin untuk kali pertama dalam sejarah, bekas peguam negara didakwa oleh peguam negara sekarang.


“Walaupun tiada pindaan (Perlembagaan Persekutuan), kita telah mula langkah untuk menunjukkan kita amat serius dalam isu ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.


Mohamed Hanipa berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PH PKR-Sungai Petani), yang mencadangkan agar diwujudkan satu jawatankuasa bagi memudahkan perbincangan berhubung pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya.


Katanya, kerajaan telah melakukan beberapa perubahan besar sejak pelantikan peguam negara baharu, termasuk mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


“Saya berani katakan ada perubahan besar sebab apabila kerajaan lantik Peguam Negara baharu, kita tak pernah terfikir yang kita boleh dakwa seorang bekas Perdana Menteri. Kita sudah tengok bagaimana beliau dibawa ke mahkamah dan bagaimana ‘mastermind’ dalam kes itu iaitu Jho Low (ahli perniagaan, Low Taek Jho) turut didakwa,” katanya.


Mengulas lanjut, Mohamed Hanipa berkata, kerajaan berhasrat melakukan pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya, namun ia sukar dilaksanakan kerana tiada majoriti dua pertiga bagi membolehkan Perlembagaan dipinda.


“Kita mahukan pemisahan itu berikutan wujudnya ‘conflict of interest’ (pertembungan kepentingan) tapi pada masa sama, kita ada kekangan iaitu tiada majoriti dua pertiga. Kalau nak pinda Perlembagaan, berdasarkan Perkara 159(3) Perlembagaan Persekutuan, ia memerlukan dua pertiga (majoriti di Dewan Rakyat).


“Buat masa ini kita tidak ada dua pertiga dan kita tak mahu ambil risiko apabila kita bentang, tak lulus. Isu ini memang sudah dibincangkan, cuma belum ada keputusan dibuat oleh Kabinet. Ia mungkin berlaku tapi saya tidak tahu bila,” katanya.


The post Bekas peguam negara mungkin didakwa: Hanipa Maidin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop