Expired : 18.06.18

Bekas pensyarah, pengantin baru dan bekas pegawai tentera antara calon Harapan di Perlis

KANGAR, 29 Rejab 1439H, Isnin – Bekas pensyarah Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), pengantin baru dan bekas pegawai tentera adalah antara nama yang dipertaruhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis mewakili Pakatan Harapan (Harapan) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.


Semua empat parti gabungan Harapan iaitu Bersatu, PKR, PAN dan DAP akan menggunakan logo PKR pada PRU14 ini.


Prof Madya Datuk Dr Abd Rahman Daud diletakkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Arau, manakala Leftenan Kolonel (B) Azhar Omar akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mata Ayer.


Baridah Che Nayan yang dikatakan baru melangsungkan perkahwinannya kira-kira tiga minggu lalu akan bertanding di DUN Guar Sanji.


Pengumuman calon parti itu dibuat bekas Pengerusi Bersatu Perlis, Ameir Hassan. Bersatu sebelum ini, dibubarkan sementara oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).


Beliau yang pernah bertanding sebagai calon Bebas pada PRU13 lalu, akan bertarung di kerusi DUN Pauh.



Bekas Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar, Izizam Ibrahim pula diletakkan sebagai calon kerusi Parlimen Padang Besar.


Calon lain ialah anak muda berusia 24 tahun, Abdul Hannan Khairy di DUN Kayang; dan Maton Din (Tambun Tulang).


Pada PRU13 lalu, kerusi Parlimen Arau dimenangi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim yang memperoleh majoriti 1,371 undi apabila mendapat 19,376 undi, mengalahkan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat (PR), Allahyarham Datuk Haron Din (18,005 undi), serta seorang calon Bebas.


Dr Abd Rahman adalah anak tempatan yang sebelum ini, pernah menjadi guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syeikh Ahmad, Arau, – antara sekolah ternama di Perlis seawal tahun 70-an. Beliau kemudian bertugas di Kementerian Pendidikan sebelum melanjutkan pelajarannya.


Bagi kerusi Parlimen Padang Besar pula, PRU13 lalu menyaksikan BN yang diwakili Datuk Zahidi Zainul Abidin menang dengan memperoleh 21,473 undi, mengalahkan calon PAS, Azamhari Mahamood (14,047 undi).


Bagi DUN Kayang, BN menang tipis 664 undi apabila calonnya, Ahmad Bakri Ali yang juga anak bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Ali Haji Ahmad, memperoleh 4,259 undi mengalahkan calon PAS, Ya’akub Abu Seman (3,595 undi).


Kerusi DUN Pauh dimenangi Menteri Besar, Datuk Azlan Man yang mendapat 4,769 undi mengalahkan calon PAS, Idris Yaacob (3,387 undi).


DUN Tambun Tulang dimenangi calon BN, Ismail Kasim (adik Shahidan) apabila memperoleh 5,286 undi mengalahkan calon PKR (2,805 undi).


Jafperi Othman, calon BN DUN Guar Sanji pula mendapat 4,235 undi mengalahkan calon PAS, Zulmi Sabri (3,308 undi).


BN Perlis setakat ini belum mengumumkan calonnya, sementara PAS pula akan berbuat demikian pada 19 April ini di Dataran Sejahtera, Kampung Bakau, Kangar.



The post Bekas pensyarah, pengantin baru dan bekas pegawai tentera antara calon Harapan di Perlis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop