Expired : 18.06.18

Belanjawan 2019: i-Akauntan sokong usaha lahir lebih ramai akauntan Bumiputera

KUALA LUMPUR, 25 Safar 1440H, Sabtu – Pertubuhan Ikatan Akauntan Muslim Malaysia (i-Akauntan) menyokong penuh inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam memberi tumpuan dan perhatian untuk membantu melahirkan lebih ramai akauntan Bumiputera bertauliah, menerusi Belanjawan 2019 yang dibentangkan semalam.


Pengerusi i-Akauntan, Hazwan Mohamad berkata, RM17.5 juta yang diperuntukkan bagi tempoh lima tahun kepada Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) adalah seiring dengan sasaran untuk mencapai 3,000 akauntan berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA).


Beliau berkata, setakat ini hanya 1,554 akauntan Bumiputera berdaftar dan negara memiliki 34,000 orang akauntan bertauliah sehingga Julai 2018.


“Antara faktor golongan Bumiputra dilihat ketinggalan jauh dalam bidang ini adalah kerana faktor limitasi sumber kewangan.


“Mengambil kira yuran peperiksaan contohnya ACCA, menelan belanja RM700 untuk satu kertas peperiksaan, ramai dalam kalangan pelajar Bumiputra masih tidak mampu untuk menanggung kos mengambil peperiksaan untuk melayakkan mereka bergelar akauntan profesional bertauliah,” katanya dalam satu kenyataan.



Bagaimanapun, sejak 2015, inisiatif kerajaan melalui biasiswa Yayasan Peneraju dilihat mampu untuk membuka peluang cerah kepada golongan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah bagi menceburi bidang profesional.


“Antara mereka yang telah membuktikan kejayaan dalam peperiksaan professional ini adalah Saudari Wan Nurmafudah Wan Yusof yang mencipta sejarah dengan mendapat tempat pertama dalam World Prize Winner bagi kertas Laporan Kewangan Korporat, ACCA pada Februari lalu.


“Selain itu, pada Julai lalu juga, Saudara Ahmad Fauzee M Hassan memperoleh 96 peratus juga skor markah tertinggi di dunia dalam kertas peperiksaan ACCA, bagi subjek Laporan Kewangan,” katanya.


Sehubungan itu, beliau berkata, bantuan berterusan daripada kerajaan untuk membantu melahirkan lebih ramai akauntan Bumiputera bertauliah adalah sangat dialu-alukan dalam mendepani cabaran menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi di masa hadapan.


“Justeru, i-Akauntan, memberi sokongan penuh atas inisiatif kerajaan Pakatan Harapan dalam Belanjawan 2019 yang komited dalam meletakkan usaha berterusan membantu golongan Bumiputra dalam bidang perakaunan,” katanya.


I-Akauntan merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada pertengahan tahun ini bermatlamat untuk menjadi sebuah pertubuhan yang bertindak sebagai Sistem Sokongan terhadap perkembangan dan hala tuju akauntan Bumiputra di Malaysia.


Sehingga kini, i-Akauntan memiliki seramai 100 orang ahli berdaftar yang mempunyai latar belakang professional dan pelajar dalam bidang perakaunan.


The post Belanjawan 2019: i-Akauntan sokong usaha lahir lebih ramai akauntan Bumiputera appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop