Expired : 18.06.18

Belanjawan 2020: Keterujaan Yang Dipenuhi Harapan

ESOK kita akan menyaksikan pembentangan belanjawan 2020 di Dewan Rakyat. Saat yang ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat khususnya golongan B40, M40, T20 dan generasi muda. Apakah kelainannya dan tawaran baharu yang bakal dinikmati? Rakyat meletakkan harapan yang tinggi agar belanjawan kali ini menawarkan sesuatu yang terbaik dari sebelumnya.


Dalam keterujaan menunggu belanjawan dibentangkan, UMNO dan PAS di atas platform Muafakat Nasional tetap bergerak menjelajah ke seluruh negara menerangkan dan memahamkan kepada rakyat intipati dan kepentingan Muafakat Nasional serta kesannya kepada politik, sosial dan ekonomi negara. Inilah iltizam dan komitmen UMNO dan PAS bagi menjayakan agenda besar ini. Muafakat Nasional bukan saingan kepada Kongres Maruah Melayu. Kita meraikan kepelbagaian, boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kebaikan rakyat dan negara. Ini dibuktikan dengan kehadiran pimpinan UMNO dan PAS ke kongres tersebut.


Graham E. Fuller (2003) pernah berkata “Islamists are good at identifying and articulating the grievances but to succeed they must move beyond their present roles if they wish to remain relevant to societies needs”. Bagi merelevankan Muafakat Nasional kita sedang mengenalpasti apakah tawaran baharu (new deal) yang diperlukan oleh seluruh rakyat? Muafakat Nasional tidak menjanjikan harapan yang bersifat retorik, tetapi menjanjikan tawaran baharu yang punyai roh seiring dengan tuntutan dan keperluan sezaman.



Sempena dengan pembentangan belanjawan 2020 saya merasakan dua segmen penting yang perlu diberikan perhatian dan pembelaan oleh kerajaan iaitu keperluan dan kos sara hidup golongan B40 dan M40 di desa dan di bandar. Begitu juga generasi muda apakah tuntutan dan keperluan mereka diraikan untuk mendapatkan lebih banyak peluang pekerjaan yang selayaknya?


Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera menjadi tema belanjawan 2019 dengan peruntukan bajet sebanyak RM 314.5 bilion. Dengan peruntukan bajet yang begitu besar adakah sepanjang tahun 2019 rakyat menikmati kehidupan yang sejahtera? Kos sara hidup turun, harga minyak turun, tol dihapuskan, PTPTN dihapuskan, bantuan kepada nelayan dan petani ditambah dan bantuan kepada golongan B40 meningkat atau berlaku sebaliknya? Rakyat mampu menilai sama ada tema belanjawan 2019 dicapai ataupun tidak.


Kemakmuran bersama: Menjana Pertumbuhan Inklusif yang Berkualiti ke arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi telah dipilih menjadi tema bagi belanjawan 2020. Bagi saya tema ini cukup signifikan dan bermakna kepada rakyat bagi mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi dan peningkatan pendapatan isi rumah khususnya golongan B40, M40 dan generasi muda.



Tanpa menafikan jurang pendapatan ekonomi B40, M40 dan T20 semakin melebar. Kumpulan terendah (B40) yang mewakili 40% daripada rakyat berpendapatan seisi rumah secara purata bulanan di bawah RM 3,860.00. Kumpulan pertengahan (M40) yang mewakili 40% daripada rakyat berpendapatan seisi rumah secara purata bulanan antara RM 3,860.00 hingga RM 8,319.00 dan kumpulan tertinggi (T20) yang mewakili 20% daripada rakyat berpendapatan seisi rumah secara purata bulanan RM 8,319.00 ke atas.


Hakikatnya jurang pendapatan antara ketiga-tiga golongan ini semakin melebar. Kerajaan bertanggungjawab merapatkan jurang tersebut dan menjadikannya sebagai keutamaan sepertimana yang diungkapkan oleh menteri bertanggungjawab sempena majlis pelancaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) baru-baru ini “Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan mengabaikan tanggungjawab untuk membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin, selain menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati mereka”.


Pengumuman pemberian subsidi minyak melalui Program Subsidi Petrol (PSP) telah mencetuskan pelbagai polimik dan respon daripada netizen. Hakikatnya, rakyat masih menagih janji harga petrol RM 1.50 sepertimana yang dijanjikan dalam manifesto dan ucapan kebanyakan pimpinan Pakatan Harapan.


Adakah pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan kajian secara holistik berdasarkan kepada trend dan demografi rakyat? Apakah trend perbelanjaan dan kepenggunaan rakyat di bandar, pinggir bandar dan luar bandar telah diteliti sebelum pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) pada Januari 2020 dan harga petrol RON95 akan diapungkan serta diselaraskan secara beransur-ansur?


Melalui PSP Kira-kira 2.9 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) akan mendapat manfaat membabitkan kadar subsidi RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 bagi motosikal dengan jumlah tanggungan kerajaan sebanyak RM65.4 juta sebulan atau RM784.8 juta setahun.



Persoalannya, bagaimana pulak nasib golongan M40 di bandar dan pinggir bandar yang bukan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang terkesan secara langsung dengan penambahan kos sara sekiranya harga RON95 diapungkan. Ini belum mengambil kira ‘Domino Effect’ di mana kenaikan harga petrol akan menaikkan harga barang seharian. Sudahlah rakyat terbeban dengan cukai SST yang jelas terbukti tidak adil dan efisyen malah tidak dapat menurunkan harga barang bahkan menambahkan beban kepada rakyat.


Saya menyarankan kerajaan mengkaji semula mekanisme pelaksanaan PSP termasuklah pelbagai syarat tidak bersesuaian yang dikenakan kepada bakal penerima PSP.


Adakah berbaloi kerajaan membelanjakan kira-kira RM25.03 juta kepada syarikat konsultan pada Mac lalu kononnya untuk membangunkan perisian subsidi petrol, bukan sedikit wang rakyat dibelanjakan. Apakah natijahnya? Dan adakah subsidi yang dicadangkan itu benar-benar sampai kepada kumpulan sasar?


Generasi muda ternanti-nanti apakah insentif baharu yang akan ditawarkan kerajaan kepada mereka. Rata-rata golongan ini mengharapkan satu keajaiban berlaku seperti menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan mewujudkan satu juta peluang pekerjaan kepada mereka serta menetapkan gaji minimum RM2,500 sebulan.


Marilah kita sama-sama menunggu dengan penuh keterujaan dan harapan apakah insentif dan penawaran baharu belanjawan 2020, semoga ianya bakal membawa kebaikan dan berita gembira kepada semua.


AHMAD ZAHID HAMIDI

#muafakatnasional

#demiummah

#akhiratdidepan


Norlida Ishak Shop