Expired : 18.06.18

Belanjawan 2020: Sediakan dana penyelidikan, pembangunan untuk OKU

Kerajaan menerusi Belanjawan 2020 diharap menyediakan dana R&D untuk OKU berdepan masalah perkembangan, pembelajaran, disleksia, autisme dan ADHD. — Foto oleh Yusof Mat Isa
Kerajaan menerusi Belanjawan 2020 diharap menyediakan dana R&D untuk OKU berdepan masalah perkembangan, pembelajaran, disleksia, autisme dan ADHD. — Foto oleh Yusof Mat Isa

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) berharap kerajaan menerusi Belanjawan 2020 dapat menyediakan peruntukan kepada institusi pengajian tinggi bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk OKU yang mempunyai masalah perkembangan, masalah pembelajaran, disleksia, autisme dan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Setiausaha Agung Pertubuhan Orang Cacat Cina Malaysia (POCCM), Sia Siew Chin berkata peruntukan itu juga bagi penghasilan produk inovasi buat kemudahan golongan seperti itu.


Selain itu, katanya peruntukan tambahan perlu diberikan terhadap pembangunan teknologi baharu khusus untuk penggunaan golongan OKU terutamanya dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bantuan mobiliti serta alat sokongan untuk pergerakan mereka.


“Contohnya penggunaan telefon pintar khusus kepada golongan cacat penglihatan atau pendengaran serta kerusi roda canggih yang dapat membantu memudahkan aktiviti seharian mereka,” katanya.


“Kami mahu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Jabatan Pembangunan Orang Kelainan Upaya sentiasa serius dalam memperkasa golongan OKU dan kami sentiasa memberi kerjasama dan sokongan terhadap perkara ini,” katanya kepada Bernama.  


Sia berkata pihaknya turut mengharapkan peruntukan khas atau subsidi kepada badan bukan kerajaan (NGO) bagi melatih para sukarelawan OKU.


“Ia bagi memberi pendedahan khusus kepada sukarelawan yang ingin membantu golongan OKU dan warga tua berdasarkan keadaan kecacatan mereka bagi memastikan mereka berkhidmat secara profesional kepada golongan itu,” katanya.


Sementara itu, Presiden Orang Kurang Upaya Anggota Melayu Malaysia (Pokuam) Suhairi Abdullah berharap kerajaan menaikkan kadar bantuan khas daripada RM400 kepada RM500 dalam Belanjawan 2020 kerana kadar bayaran itu dilihat tidak mencukupi terutamanya bagi mereka yang tidak bekerja berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.


“Kenaikan itu perlu memandangkan ada dalam kalangan OKU yang bekerja makan gaji tetapi dibayar mengikut hari ataupun secara kontrak yang rata-ratanya dalam lingkungan RM1,200 hingga RM2,000.


“Jumlah itu tidak mencukupi terutamanya yang tinggal di kawasan bandar kerana selain kos sara hidup yang tinggi, pergerakan golongan OKU juga amat terbatas menyebabkan kami kadangkala terpaksa berbelanja lebih untuk bergerak ke mana-mana,” katanya.


Katanya kerajaan amat prihatin terhadap nasib golongan OKU dengan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan dan latihan vokasional kepada mereka untuk hidup berdikari.


“Cuma bantuan khas sahaja yang perlu diselaraskan mengikut keadaan semasa setiap tahun,” katanya. — Bernama


Norlida Ishak Shop