Expired : 18.06.18

Belanjawan 2020 tak sentuh langsung isu PTPTN: Aminuddin

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar


BANGI, 13 Safar 1441H, Sabtu – Gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menzahirkan rasa kesal apabila Belanjawan 2020 – belanjawan kedua Kerajaan Pakatan Harapan (PH) – langsung tidak menyentuh isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menjadi beban kepada graduan.


Presiden Isma, Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan sekurang-kurangnya perlu kemukakan penyelesaian untuk meringankan beban graduan walaupun PH sebelum ini pernah berjanji untuk menghapuskan PTPTN.


“Insentif kepada graduan yang menganggur pula hanya diberikan kepada yang menganggur lebih 12 bulan. Sepatutnya kerajaan merendahkan lagi tempoh ini kerana kerajaan perlu memikirkan pada mereka yang sudah mempunyai tanggungan pada seawal mereka tamat pengajian,” katanya kepada Ismaweb hari ini.


Merujuk kepada pembentangan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam, Aminuddin berpandangan Belanjawan 2020 tidak banyak projek dan idea baharu melainkan perbelanjaan mengurus agak tinggi iaitu RM 241 bilion.


“Mungkin kerajaan lebih tumpukan pada Private Finance Initiative (PFI). Namun, untuk jangka masa panjang, penumpuan kepada PFI hanya akan ditanggung oleh rakyat kerana syarikat-syarikat akhirnya akan ‘berikan kembali’ kos-kos ini kepada rakyat,” katanya.


Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi sekarang, kerajaan sepatutnya memperbanyakkan lagi perbelanjaan pembangunan (sekarang: RM 56 billion).


“Selain itu, sumber pendapatan kerajaan tidak dinyatakan dengan jelas untuk menampung segala perbelanjaan ini. Adakah kerajaan akan terus meminjam-minjam untuk mendapatkan wang?


“Walhal jumlah hutang semakin meningkat. Tindakan ini boleh mengakibatkan rating negara akan jatuh,” katanya.


Aminuddin yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berkata, Belanjawan 2020 terlalu banyak insentif diberikan kepada industri digital walaupun industri ini bukanlah ‘labour intensive’.


“Jadi, di manakah yang dikatakan kerajaan akan wujudkan puluhan ratusan ribu peluang pekerjaan baru? Pembelian hartanah oleh warga asing diturun dan dilonggarkan kepada RM 600 ribu untuk menyelesaikan masalah rumah tidak terjual dengan mudah.


‘Ini satu langkah yang bahaya dan boleh menyebabkan lambakan warga asing di negara kita kerana mata tukaran asing yang murah. Saya harap agar kerajaan dapat memberi perhatian pada kebimbangan yang saya lontarkan. Saya yakin rakyat juga mempunyai kebimbangan yang sama,” kata beliau.


The post Belanjawan 2020 tak sentuh langsung isu PTPTN: Aminuddin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop