Expired : 18.06.18

Bendung kluster warga asing

BANGI, 19 Syaaban 1441H, Isnin – Pengasingan dan kuarantin yang sempurna bagi semua kluster jangkitan COVID-19 perlu dititik beratkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.


Pakar Epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud berkata, antara kluster yang perlu dibendung adalah membabitkan warga asing.


Katanya, kita perlu bersedia mengatasi penularan semula COVID-19 oleh warga asing, contohnya dari negara jiran, yang datang ke negara ini sama ada melalui pintu masuk sah atau menerusi lorong tikus.


“Negara jiran ketika ini menyaksikan ledakan kes yang ketara dan warga negara itu berisiko mencetuskan kluster kes import di Malaysia selepas PKP berakhir,” katanya.


“Selain itu, kita perlu pastikan semua warga asing sama ada sah atau tidak, faham mesej yang ingin disampaikan seperti penjarakkan sosial, memakai topeng muka, membasuh tangan dan menjaga etika batuk,” katanya seperti dilapor Berita Harian.


Mengulas mengenai waktu yang sesuai untuk PKP berakhir, Dr Awang Bulgiba menegaskan, tren penurunan tidak boleh diukur dalam tempoh dua atau tiga hari, sebaliknya perlu selaras dengan tempoh inkubasi virus COVID-19 iaitu selama 14 hari.


Katanya, sekiranya PKP ditamatkan berdasarkan penurunan kes selama beberapa hari sahaja, ia tidak menggambarkan situasi sebenar dan berisiko untuk berlaku semula jangkitan.


“Sudah tentu paling ideal ialah kes menurun hingga angka kosong dalam tempoh dua minggu, tetapi itu tidak realistik.


“Namun kita boleh jadikan penurunan kes baharu COVID-19 berbanding kes sembuh, sebagai antara petanda menggambarkan jumlah kes aktif serta bilangan individu yang memerlukan rawatan semakin berkurangan,” katanya.


Malaysia sudah hampir memasuki fasa ketiga PKP, sejak mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu. PKP fasa ketiga akan bermula 15 April sehingga 28 April.


Setakat ini, 2,499 kes positif COVID-19 direkodkan, dan jumlah keseluruhan kes yang pulih adalah 2,108. Sementara itu, 76 orang dilaporkan meninggal dunia dan 66 kes positif dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.


The post Bendung kluster warga asing appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.