v Berarak bawah senduk! [METROTV]
Expired : 18.06.18

Berarak bawah senduk! [METROTV]

KEINGINAN mencari kelainan sempena hari bahagia memberi ilham kepada Mohamad Shaiful Sharifudin, 29, dan Nurul Ain Nor Azmee, 23, untuk melangsungkan majlis persandingannya bertemakan kulinari.

Majlis itu diadakan di Batu 9, Cheras di Kuala Lumpur pada 1 Disember lalu hingga menyebabkan kelainan yang ditonjolkan pasangan berkenaan mendapat perhatian warganet selepas gambar dan video majlis perkahwinan mereka tular di Twitter.

Menerusi video berdurasi 45 saat itu, pasangan berkenaan dilihat jalan beriringan dengan ketibaan mereka disambut sekumpulan lelaki memakai uniform dan topi cef sambil mengangkat senduk.

Pasangan itu kemudiannya berjalan di bawah senduk berkenaan dan menariknya, Mohamad Shaiful turut mengenakan persalinan seperti cef.

Mohamad Shaiful berkata, tema berkenaan menjadi pilihan dia dan isteri kerana melihatnya bersesuaian dengan pekerjaan mereka sebagai tukang masak.

Baginya, tema itu agak unik dan demi menarik perhatian tetamu yang hadir, 10 rakan tukang masak diundang khas untuk menjadi penyambut pengantin.

“Ini adalah idea saya dan dilaksanakan selepas berbincang dengan isteri serta mendapatkan pandangan daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

“Lagipun, saya belum pernah lihat tema serupa di majlis perkahwinan lain sebelum ini dan apa salahnya mencuba supaya nampak berbeza berbanding majlis lain.

“Bagi memeriahkan majlis, saya undang rakan yang juga tukang masak untuk menjadi penyambut pengantin dan mereka bukan hanya memakai uniform cef tetapi turut mengangkat senduk sebagai tanda menyambut ketibaan saya dan isteri sebelum naik ke atas pelamin,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Mohamad Shaiful dan Nurul Ain bersama rakan tukang masak yang diundang khas untuk menjadi penyambut tetamu di majlis persandingan mereka yang diadakan di Batu 9, Cheras di Kuala Lumpur pada 1 Disember lalu. Foto Ihsan Mohamad Shaiful Sharifudin

Mohamad Shaiful bersyukur kerana idea itu mendapat maklum balas positif daripada tetamu yang turut diberi cenderahati senduk sebagai tanda terima kasih.

“Selain pakaian dan penyambut pengantin, kami juga lakukan kelainan daripada segi pemberian cenderahati.

“Kami pilih senduk untuk diberikan kepada tetamu bersesuaian dengan tema majlis dan kerana ia satu peralatan penting di dapur,” katanya yang juga pemilik KOYAK Catering.

Sementara itu, Nurul Ain mengakui puas kerana impiannya untuk melangsungkan perkahwinan bertemakan kulinari menjadi kenyataan.

“Saya dan suami adalah tukang masak, kami berasa tema berkenaan amat sesuai dan melakukan kelainan untuk kepuasan peribadi dengan harapan majlis itu diingati oleh tetamu yang hadir,” katanya.