v Berdosa Membatalkan Puasa Qada’ Tanpa Uzur Kerana Ia Termasuk Puasa Wajib
Expired : 18.06.18

Berdosa Membatalkan Puasa Qada’ Tanpa Uzur Kerana Ia Termasuk Puasa Wajib

Mesti ramai antara kita yang mengambil kesempatan untuk mengerjakan puasa 6 di bulan Syawal tahun ini.

Lazimnya bagi perempuan, kita akan berniat untuk menggantikan dulu puasa yang tertinggal sebelum melakukan puasa sunat Syawal dan ada juga yang menggabungkan puasa ganti dan puasa Syawal sekali.

Tapi biasalah, macam-macam dugaan musim raya ni kan? Kadang-kadang ada orang bagi makanan sedap, ajak makan best-best, kita yang dah berniat puasa tadi pun goyah jugalah… Rasa teragak-agak bila fikir lain kali pun boleh puasa lagi.

Tapi tahukah kita bahawa membatalkan puasa ganti adalah sesuatu yang tidak dibolehkan kecuali jika mengalami keuzuran?

Ini kerana puasa ganti termasuk sebagai puasa wajib.

Jadi, bagaimana pula jika kita membatalkan puasa sunat tanpa keuzuran. Adakah ia dibenarkan?

puasa di bulan ramadhan

Foto Kredit: vitals.lifehacker.com

Mari ikuti penjelasan Dato Dr Zulkifli Al-Bakri menerusi Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini.

Hukum Membatalkan Puasa Ganti & Puasa Sunat Tanpa Keuzuran

Assalamualaikum Dato.

Saya telah menyetubuhi isteri ketika dia sedang qada’ puasa Ramadhan dan saya sedang berpuasa enam syawal.

Adakah dibolehkan membatalkan puasa enam dan puasa qada’ dengan sengaja?

Dan adakah tindakan bersetubuh itu dikenakan kaffarah?

Jawapan

Waalaikumsalam.

Alhamdulillah bersyukur kehadrat Allah S.W.T dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

Puasa enam dibulan Syawal merupakan perkara yang sangat di tuntut oleh Baginda SAW.

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari RA, sabda Nabi SAW:

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ، ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ، كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Maksudnya: Sesiapa yang puasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.

Hadis Riwayat Imam Muslim (1164)

Hukum Membatalkan Puasa Sunat

Makruh sekiranya membatalkan puasa sunat dengan sengaja dan tidak diwajibkan mengqada’kannya.

(Lihat: al-Fiqh al-Manhaji, 2/118)

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hani’ RA sabda Nabi SAW:

الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِينُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ

Maksudnya: Seseorang yang berpuasa sunat, jika dia mahu dia boleh teruskan berpuasa, dan jika mahu dia juga boleh berbuka.

Hadis Riwayat Imam al- Tirmizi (32)

Tanda gastrik

Hukum Membatalkan Puasa Qadha’ Ramadhan

Hukum membatalkan puasa qada’ adalah berdosa sekiranya tanpa uzur yang disyariatkan seperti haid dan musafir.

Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ummu hani’ RA:

يَا رَسُولَ اللَّهِ لَقَدْ أَفْطَرْتُ وَكُنْتُ صَائِمَةً ‏.‏ فَقَالَ لَهَا ‏”‏ أَكُنْتِ تَقْضِينَ شَيْئًا ‏”‏ ‏.‏ قَالَتْ لاَ ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَلاَ يَضُرُّكِ إِنْ كَانَ تَطَوُّعًا ‏”‏

Maksudnya: “Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqada’kan sesuatu (puasa)”. Beliau berkata: “Tidak”. Sabda Rasulullah SAW: “Maka tidak memudaratkan (memberi dosa) kepadamu sekiranya ia adalah puasa sunat”

Hadis Riwayat Abu Daud (2456)

Hal ini dibincangkan di dalam kitab kifayah al-akhyar menyatakan tidak boleh membatalkan puasa qada’ kerana telah memulai sesuatu perkara yang wajib.

Oleh itu tidak boleh sengaja membatalkannya melainkan dengan keuzuran yang dibolehkan syarak.

(Lihat: Kifayah al-Akhyar fi Hal Ghayatul al-Ikhtisar, 1/207)

Begitu juga Ibnu Qudamah di dalam kitabnya menyatakan:

“Barang siapa memasuki di dalam sesuatu perkara yang wajib, seperti qada’ Ramadhan atau Nazar Mua’iyyin atau Mutlak atau Puasa Kaffarah, tidak harus baginya untuk keluar daripadanya (membatalkannya)”.

(Lihat: Mughni li Ibnu Qudamah, 3/160)

cara buat jus kurma

Foto Kredit: babycenter.com.my

Kaffarah Puasa

Kaffarah puasa hanya dikenakan kepada sesiapa yang melakukan jimak pada siang hari di bulan Ramadhan.

Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA katanya:

بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: مَا لَكَ؟ قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِى وَأَنَا صَائِمٌ، في رواية: في رَمَضَان. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا؟ قَالَ: لاَ. فَمَكَثَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم، فَبَيْنَمَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ، أُتِىَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِفرقٍ فِيهِ تَمْرٌ. قَالَ: أيْنَ السَّائِلُ؟ فَقَالَ: أَنَا. قَالَ: خُذْهَا فَتَصَدَّقْ بِهِ. فَقَالَ: الرَّجُلُ أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّى يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي، فَضَحِكَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ، ثُمَّ قَالَ: أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ

Maksudnya:

“Ketika kami duduk di samping Rasulullah SAW, seorang lelaki menemui Baginda, dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku binasa.” Baginda bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.” Dalam riwayat yang lain, dalam bulan Ramadhan. Sabda Baginda: “Adakah kamu boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?” Jawabnya: “Tidak.” Baginda bersabda: “Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawabnya: “Tidak.” Sabda Baginda: “Adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?” Jawabnya: “Tidak.” Rasulullah SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, Nabi memberi sebakul tamar, lalu bersabda: “Di manakah orang yang bertanya tadi?” Lelaki itu menjawab: “Aku.” Sabda Baginda lagi: “Ambillah tamar ini dan sedekahkan.” Lelaki itu berkata: “Adakah ada orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih fakir daripada keluargaku di antara Timur dan Barat Madinah ini!” Nabi SAW ketawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: “Berikan makan tamar itu kepada keluargamu.”

Hadis Riwayat al-Bukhari (1834)

Syeikh Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan tidak dikenakan kaffarah kepada seseorang itu dalam beberapa keadaan, diantaranya:

Sekiranya membatalkan puasa, tidak dikenakan kaffarah sekiranya membatalkan puasa dalam keadaan uzur, terlupa ianya berpuasa kemudian melakukan jimak, jahil tentang pengharamannya (jimak di siang Ramadhan), membatalkan dengan makan dan minum kemudian melakukan jimak, musafir atau membatalkan puasa bukan dibulan Ramadhan (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e 2/203).

Dan tidak dikenakan kaffarah selain bulan Ramadhan.

Begitu juga dengan puasa qada’ tidak dikenakan kaffarah. Ini kerana kaffarah itu hanya dikenakan pada bulan Ramadhan bagi menjaga kesuciannya.

(Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/288)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada dalil yang diberikan di atas, dapat disimpulkan bahawa:

1. Hukum membatalkan puasa sunat adalah makruh.

2. Bersetubuh ketika puasa selain di bulan ramadhan tidak dikenakan kaffarah. Ini kerana kaffarah puasa hanya dikhususkan di bulan Ramadhan.

Mengikut pendapat jumhur serta Imam Nawawi, Ibnu Qudamah dan Ibnu Rusyd bahawa tidak wajib kaffarah bagi sesiapa yang sengaja membatalkan puasa selain dari puasa yang diwajibkan dibulan Ramadhan.

Sama ada dengan makan dan minum atau dengan bersetubuh.

(Lihat: al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 6/345. Al-Mughni li Ibnu Qudamah, 3/139. Bidayah al-Mujtahid, 2/69)

3. Adapun membatalkan puasa qada’ wajib dengan sengaja hendaklah dielakkan melainkan terdapat uzur syari’e.

Ini kerana qada’ puasa Ramadhan adalah perkara yang diwajibkan dan tidak boleh dengan sengaja membatalkannya melainkan dengan uzur syari’e.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam menjalani ibadah seterusnya berkhidmat menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat.

Amin.

*Pautan asal : https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3503-al-kafi-1299-adakah-dikenakan-kaffarah-membatalkan-puasa-dengan-berjimak-ketika-suami-puasa-enam-dan-isteri-puasa-qada