Expired : 18.06.18

Berhenti melalak, membawang isu pelantikan Latheefa – Mohd Shukri

BEKAS Ketua Pesuruhjaya (KP) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull meminta semua pihak berhenti melalak dan membawang berikutan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad melantik Latheefa Koya sebagai pengganti beliau.


Sebaliknya, Mohd Shukri meminta rakyat memberi sokongan kepada Latheefa untuk melaksanakan tugas barunya menerajui SPRM.


Katanya, beliau sendiri yakin untuk meletakkan kepercayaan kepada Latheefa.


“Berikan sokongan dan biarkan dia membuat kerjanya. Biar dia buat yang terbaik dan kemungkinan dengan tugas dia sebelum ini sebagai peguam, dia boleh bawa idea-idea korporat dan diganding dengan inisiatif kerajaan,” katanya dalam satu pertemuan dengan media di sini hari ini.


Mohd Shukri berkata orang ramai tidak perlu bimbang kerana yang menjalankan tugas adalah pegawai-pegawai SPRM dan tugas KP SPRM hanya untuk menggerakkan.


“KP baharu walaupun tidak ada pengalaman dalam kerja SPRM tetapi pegawai yang akan buat kerja, dan pegawai-pegawai ini memang ini terlatih. So benda ini akan berjalan lancar,” katanya.


Mohd Shukri turut menurunkan beberapa petua sebagai panduan bagi Latheefa untuk memimpin SPRM dengan baik iaitu “Do The Right Thing; Do It Right; Independent/Neutral/Impartial; Without Fear or Favour”.


“Jangan takut ditekan, jangan takut tekanan, jangan takut dibuang (kerja) sekalipun tetapi jangan tunduk kepada desakan.


“Kena ada ciri-ciri ini dan saya percaya beliau akan menjadi pemimpin yang baik,” katanya.


Latheefa dilantik sebagai KP SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lepas.


Mengenai soal sama ada Latheefa bersifat ‘independent’ atau berkecuali, Mohd Shukri berkata: “Tunggu. Tengoklah lepas ini. Bagi peluang kepada dia.”


The post Berhenti melalak, membawang isu pelantikan Latheefa – Mohd Shukri appeared first on NewMalaysianPost.com.


Norlida Ishak Shop