Expired : 18.06.18

Berhimpunlah secara aman

ESOK, satu perhimpunan aman dikenali sebagai ‘Himpunan 812’ iaitu sempena tarikh 8 Disember bagi menyatakan kesyukuran terhadap kejayaan membantah cadangan meratifikasi satu konvensyen antarabangsa – ICERD – akan diadakan di ibu negara.


Lebih tepat lokasinya di Jalan Raja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad dan Dataran Merdeka. Masa yang dibenarkan berhimpun ialah jam 2 petang hingga 6 petang. Beberapa jalan utama sekitar Kuala Lumpur, termasuk jalan sambungan menuju ke lokasi perhimpunan, akan ditutup mulai jam 6 pagi.


Acara esok bakal mencatat satu lagi sejarah perhimpunan bangsa Melayu dan umat Islam di Malaysia, kerana akan menggabungkan ratusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diterajui Gerakan Pembela UMMAH, dengan beberapa parti politik, seperti UMNO dan PAS.


Dianggarkan kira-kira 500,000 peserta dari seluruh negara akan hadir. Malah, Pedang dimaklumkan sejak petang tadi lebuh raya dan jalan menuju ke ibu negara mula sesak. Ada kumpulan peserta yang berkonvoi 53 buah kereta dari Kelantan ke Kuala Lumpur.


Sama ada yang akan berkumpul esok, 10 peserta, 100 peserta, 1,000 peserta, 10,000 peserta atau 100,000 peserta – apa yang penting ialah memastikan keselamatan, mengikut arahan penganjur dan pihak berkuasa serta mematuhi undang-undang negara.


Pihak berkuasa, termasuk kerajaan, telah berlembut dengan membenarkan perhimpunan diadakan. Maka, bagi membalas langkah itu, kita semua hendaklah memastikan himpunan berjalan lancar dengan mematuhi undang-undang.


Sebenarnya, perhimpunan esok adalah rentetan daripada usaha menentang ratifikasi ICERD yang mula-mula sekali digerakkan oleh Gerakan Pembela UMMAH, pergerakan yang menggabungkan lebih 300 NGO Islam dan Melayu.


ICERD atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum, mendapat perhatian apabila Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani a/p Patto, mencadangkan di Dewan Rakyat, supaya kerajaan meratifikasi konvensyen itu.


Susulan itu, pada 15 Oktober Ismaweb.net menyiarkan satu artikel yang kemudian mendapat bantahan wakil rakyat berkenaan, yang memberi tempoh 48 jam kepada portal Islam dan Melayu menarik balik tulisan itu. Tetapi, Ismaweb.net tegas dengan pendirian enggan menarik balik artikel berkenaan.


[BACA: PENDIRIAN ISMAWEB ISU AHLI PARLIMEN BATU KAWAN]


Pada 31 Oktober pula, UMMAH diwakili Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kerajaan di bangunan Parlimen.


Susulan itu, sejak November, UMMAH dan beberapa NGO tempatan, seperti Skuad Badar dan Semboyan 1Malaysia, menganjurkan beberapa siri himpunan menolak ICERD di seluruh negara.


Pengerusi UMMAH yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Haji Aminuddin Yahaya berkata, risiko dan jangkauan jika ICERD diratifikasikan akan mencakupi dan memberi kesan buruk kepada pelbagai institusi dan polisi.


Antara lain ialah Mara hendaklah dibubar; MRSM dan UiTM hendaklah ditutup atau tidak dikhususkan kepada Melayu dan Bumiputera sahaja; Tanah Rizab Melayu dihapuskan; Rejimen Askar Melayu Diraja dianggap diskriminasi; dan biasiswa yang dikhususkan kepada Bumiputera hendaklah dihapuskan.


Selain itu, paling utama, ICERD juga bakal mengancam kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, termasuk memberi kebebasan beragama, penghapusan diskaun perumahan, dan syarat tawar tender yang mengkhususkan Bumiputera.


Penentangan NGO itu kemudian mendapat perhatian dua parti politik utama bangsa Melayu – UMNO dan PAS – yang turut bersetuju mengambil bahagian, untuk mengerahkan ahli mereka menyertai setiap siri himpunan yang diadakan di seluruh negara.


Himpunan itu kemudian menjadi isu nasional paling hangat dibincangkan sebelum tirai 2018 dilabuhkan.


Kemuncaknya adalah esok. Namun, dalam pada bangsa Melayu dan umat Islam merancang mengadakan Himpunan 812, tidak semena-mena tercetus rusuhan di sebuah kuil di Subang Jaya yang membabitkan sekumpulan kira-kira 50 pemuda Melayu, dengan penganut Hindu, berhubung isu tapak kuil.


Tetapi, pemimpin parti rasis dan anti-Islam DAP serta Hindraf mengambil kesempatan menangguk di air keruh, menuduh umat Islam menyerang kuil berkenaan hingga mencetuskan rusuhan. Pelbagai berita tidak sahih beredar di media sosial, sehingga mencetuskan kebimbangan berlaku perbalahan kaum.


Bagaimanapun, keadaan pulih selepas polis berjaya mengawal keadaan dan menangkap mereka yang terbabit.


Justeru, Pedang mengingatkan peserta Himpunan 812, esok, mengetepikan isu kuil itu yang tidak ada kena mengena dengan ICERD.


Mengulas mengenai ICERD, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah mustahil untuk Malaysia meratifikasi ICERD kerana ia memerlukan penggubalan semula Perlembagaan Persekutuan.


Beliau menegaskan, konvensyen antarabangsa berkenaan adalah yang rumit untuk dilaksanakan, namun ia dibincangkan kerana tidak menolak pendapat orang ramai.


Kerajaan melalui Pejabat Perdana Menteri telah memberi jaminan tidak akan meratifikasi ICERD. Namun, Perdana Menteri tidak menghalang Himpunan 812 diadakan, apabila penganjur mengubah tujuannya daripada ‘membantah’ kepada ‘mensyukuri’ keputusan tidak meratifikasi ICERD.


Polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula memberi kebenaran penganjur mengadakan perhimpunan – tidak seperti perhimpunan Bersih yang tidak dibenarkan sebelum ini.


Oleh itu, Pedang sekali lagi berharap peserta Himpunan 812 esok, menunjukkan budaya Melayu dan Islam dengan tidak melakukan tindakan atau perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam dan undang-undang negara.


Jadikan ia suatu perhimpunan aman yang akan menjadi contoh pada masa depan, bukan seperti rentetan demonstrasi yang menyebabkan harta benda awam dirosakkan, yang berlaku pada 1998 hingga 2017.


Kata Pedang: Jangan ada provokasi, jangan rosakkan harta benda awam.. perhimpunan itu adalah majlis kesyukuran.


Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.


The post Berhimpunlah secara aman appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop