v “Beri 6 Bulan Dan Saya Akan Kembali Lebih Baik,” – Sham Visa Bergantung Dengan Steroid Untuk Kecederaan Peti Suara
Expired : 18.06.18

“Beri 6 Bulan Dan Saya Akan Kembali Lebih Baik,” – Sham Visa Bergantung Dengan Steroid Untuk Kecederaan Peti Suara

Tidak mengharap dengan gelaran juara, berada sebagai peserta akhir Gegar Vaganza musim keenam (GV6) sudah cukup memuaskan hati Sham Visa.

Jelasnya kepada media, sudah ‘terlepas’ segala beban selepas 11 minggu berentap meski dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Luah penyanyi dengan nama Rohisham Hashim ini lagi, dia akan berehat selama enam bulan daripada sebarang aktiviti nyanyian demi memulihkan kecederaan peti suara.

Pada masa sama, bapa kepada dua cahaya mata ini turut mendedahkan terpaksa menggunakan steroid atas nasihat doktor untuk rawatan kepada sakit yang dialami.

Lega rasanya dapat memenuhi KPI yang ditetapkan pihak pengurusan untuk berada di peringkat akhir.

“Saya tahu saya tidak menepati kriteria, namun beri saya enam bulan dan saya akan kembali dengan lebih baik.

“Saya perlu merawat dahulu masalah Chronic Laryngitis atau kecederaan teruk pada peti suara. Buat masa ini sudah lima minggu saya bergantung kepada steroid.

“Saya akan mendapatkan nasihat doktor sama ada perlu teruskan penggunaan steroid, namun keperluan utama ialah untuk memulihkan peti suara.

“Ia untuk kebaikan ‘instrumen’ supaya saya masih boleh menyanyi dan menggunakan setidak-tidaknya tiga hingga empat tahun lagi sebagai penyanyi.

Saya kena bergantung dengan steroid supaya peti suara terus kekal mengeluarkan bunyi walau tidak sempurna. Buat masa sekarang, tugas saya di GV telah selesai dan mungkin saya akan berhenti menggunakannya, ia tidak elok untuk jangka masa yang lama.

“Saya akan membuat latihan vocal secara manual untuk kembalikan kekuatan. Saya telah lama tidak menyanyi dan vocal cord saya sangat lemah,” jelasnya padat.

Tegas penyanyi berusia 48 tahun ini lagi, imej yang dibawa tidak pernah sesekali meniru watak adiwira Marvel, Iron Man, sebaliknya apa yang ditonjolkan merupakan dirinya yang sebenar.

“Sebenarnya ini bukan imej Iron Man. Rupa ini rupa saya dan tidak dibuat-buat. Bukan mahu meniru dan langsung tiada niat. Namun saya dilabel oleh orang yang melihat dan saya tidak pernah merasa begitu.

“Saya akan terus menjadi diri sendiri dengan seadanya,” katanya lagi.

GV6 menyaksikan Naqiu dan Hady Mirza diangkat menjadi juara dengan jumlah markah yang sama.

Sementara Jatt menduduki tempat ketiga, Nurfatima di kedudukan keempat, diikuti One Nation Emcees (kelima) dan Sham Visa (keenam).