Expired : 18.06.18

"Beri Dia Masa..." - Ini Pesanan Siti Nurhaliza Untuk Umai




Kamaruddin Razal



Hiburan


Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan anak saudaranya, bintang cilik Ummi Umairah atau Umai, 8, boleh pergi jauh dalam bidang nyanyian.

Menurut Siti, anak kepada adiknya Siti Nursairah itu boleh menjadi lebih bagus jika bakatnya digilap.

"Sejujurnya, saya tak ikuti perjalanan Umai setiap minggu di program Ceria Megastar Ministar. Tetapi, saya ada menyaksikan persembahannya di laman YouTube.

"Umai boleh pergi jauh dan menjadi lebih bagus, tetapi harus diberikan lebih masa. Sekarang usianya baru 8 tahun dan dia sudah mula didedahkan dengan bidang nyanyian.

"Dia baru sahaja mahu bermula, jadi orang lain tak boleh letak harapan Umai boleh terus jadi bagus.

"Saya sendiri mula menyanyi di usia 10 tahun tetapi hanya di kampung sahaja. Ceria Megastar Ministar memang pendedahan yang baik untuk Umai," kata Siti.

Walaubagaimanapun, Siti tetap mengingatkan Sairah agar memantau Umai supaya dia tidak lalai.

"Saya ingatkan Sairah, jangan sampai Umai lalai dengan pelajaran. Umai masih anak kecil dan masih bersekolah.

"Dia budak yang bijak, bersekolah di sekolah Cina. Umai juga harus diberikan pendidikan agama yang sebetulnya. 

"Semoga Umai terus fokus belajar biarpun dia telah mula melibatkan diri dalam bidang nyanyian," katanya lagi.

Sebelum ini, Umai pernah merakamkan lagu sempena sambutan Hari Raya yang berjudul Fitrah hasil ciptaan Firdaus Mahmud dan lirik oleh Adam Iskandar yang diterbitkan Asmete Academy.

Perjalanan Umai dalam program Ceria Megastar Ministar terhenti selepas tersingkir di peringkat suku akhir.

Jangan lupa saksikan perjalanan bintang cilik lain dalam Ceria Megastar Ministar hanya di saluran Astro Ceria (CH 611), Astro Prima (CH 105) dan Astro Prima HD (121) pada setiap hari Jumaat, jam 9 malam!

Ceria Megastar Ministar juga boleh diakses melalui aplikasi Astro GO yang mempunyai versi ‘extended cut’ serta di platform digital, On Demand.


Norlida Ishak Shop