Expired : 18.06.18

Beri kerjasama untuk proses bancian Julai tahun depan


TAWAU, 6 Safar 1441H, Sabtu – Kerjasama rakyat di negara ini diperlukan bagi mengisi maklumat lengkap sewaktu proses bancian dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Julai tahun hadapan.


Timbalan Ketua Perangkawan Malaysia (Ekonomi), Ibrahim Jantan berkata, perkara itu penting kerana melalui bancian pelbagai input diperolehi, bukan setakat bilangan penduduk tetapi termasuk mengetahui aspek kesejahteraan rakyat.


“Kalau kita (rakyat) tak beri maklumat yang lengkap dan tepat, kita tak tahu tentang kesejahteraan yang dinikmati kini dan kita tak tahu macam mana perlu dilakukan untuk penambahbaikan sebab maklumat tak ada” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Tawau StatsRun 2019 di Padang Perbandaran Tawau di sini, hari ini.


Dalam pada itu, katanya, bancian yang dijalankan juga bukan sahaja membabitkan penduduk negara ini tetapi turut melibatkan warga asing.


Sementara itu, Ibrahim berkata, Jabatan Perangkaan mula memperkenalkan sistem bancian penduduk menerusi dalam talian yang dikenali sebagai ‘E-Census’.


“Pengenalan ini selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat negara ini,” katanya dan disasarkan kadar penggunaan sistem E-Census untuk bancian pada tahun hadapan adalah  30 hingga 40 peratus.


Menurut Ibrahim, sistem itu sesuai digunakan memandangkan gaya hidup masyarakat masa kini yang kadang kala tiada di rumah ketika petugas banci melakukan bancian di rumah mereka.


“Proses bancian secara rumah ke rumah akan tetap diteruskan di kawasan tertentu terutamanya di bahagian luar bandar,” katanya lagi.


Di Sabah, mengikut e-anggaran Jabatan Perangkaan, bancian penduduk pada tahun 2018 seramai 3.9 juta orang dengan 70.3 peratus merupakan warganegara manakala bakinya bukan warganegara. – Bernama



The post Beri kerjasama untuk proses bancian Julai tahun depan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Norlida Ishak Shop